utama

Eyka ingin watak berat

Oleh Najiy Jefri

Hampir sedekad 'menjual' bakat sebagai pelakon, Eyka Farhana bersyukur apabila laluan kerjaya seninya semakin mewangi.

Lebih mengujakan, wanita berusia 26 tahun itu terus dihujani pelbagai tawaran demi tawaran apabila mendapat kepercayaan daripada syarikat produksi dan stesen televisyen.

Mengakui bertuah apabila rezeki dalam bidang lakonan tidak putus, Eyka bagaimanapun enggan terus berasa selesa dengan setiap rezeki yang diterima.

"Memasuki tahun kesembilan dalam industri seni, saya sangat bersyukur dan bertuah kerana masih diberi peluang untuk terus membawakan karakter-karakter yang berbeza.

"Perjalanan selama sembilan tahun dalam industri lakonan adalah proses untuk saya belajar menjadi lebih baik. Saya akui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Ketika melihat lakonan saya di kaca TV, saya selalu rasa karakter yang dibawakan boleh dijayakan dengan lebih baik.

"Jadi saya tak pernah rasa puas atau cukup sebaliknya banyak lagi perkara yang perlu saya timba andai ingin digelar aktres yang bagus," katanya.

Meksipun pelbagai karakter sudah dibawakan, Eyka bagaimanapun ingin terus mencabar dirinya memegang watak yang lebih berat pada waktu mendatang.

Malah, Eyka turut menyimpan keinginan untuk bergelar penerbit atau pengarah satu hari nanti.

"Bidang lakonan ini adalah satu kerjaya yang perlu digalas sebaik mungkin. Saya sangat menyukai kerjaya ini dan ia sudah sebati dalam diri.

"Namun jika diberi peluang satu hari nanti, saya ingin mengarah atau menerbitkan filem. Tapi bukan dalam waktu terdekat, sebaliknya saya sekadar menyimpan impian saja,"katanya.

Eksklusif

Jika melihat perjalanan karier seni Eyka, kehadirannya dilihat sedikit ekslusif apabila tidak membawakan drama tempatan yang 'klise' atau wajahnya muncul kerap di kaca TV.

Tampil menjelaskan perkara itu, Eyka menafikan dirinya eksklusif atau selektif, sebaliknya menerima apa saja tawaran yang dirasa bersesuaian dengan imejnya.

"Saya sebenarnya ambil saja setiap tawaran yang datang, tapi buat masa sekarang pastilah saya nak dahulukan watak yang menarik untuk dilakonkan.

"Tiada istilah selektif cuma saya agak sibuk dengan beberapa hal. Selain berlakon, saya juga perlu melunaskan tanggungjawab untuk penggambaran kempen di sosial media. Jadi, sedikit sebanyak terpaksa menolak tawaran yang bercanggah dengan penggambaran,"katanya.

Cinta

Beralih mengenai kisah cinta, Eyka tanpa berselindung mengakui hubungannya dengan pemain bola sepak kebangsaan dan Kelab Johor Darul Takzim (JDT), Akhyar Rashid masih berjalan seperti biasa sebagai kawan.

Kata Eyka, dia dan Akhyar masih berkawan seperti biasa dan tidak ada sebarang masalah antara mereka.

"Kami masih berkawan seperti biasa dan tiada apa-apa masalah pun.

"Saya sebenarnya suka kalau kehidupan peribadi saya kekal 'privasi'. Saya tak suka nak bercerita lebih," katanya.

Sengaja ditanya soalan, adakah dia mempunyai keinginan untuk berkahwin selepas melihat beberapa rakan selebriti melangkah ke fasa itu, Eyka mengakui setiap wanita mempunyai keinginan berkenaan.

"Sudah tentu saya pun ada keinginan untuk berkahwin atau melangkah ke fasa yang serius dalam perhubungan.

"Tapi apabila difikirkan semula, mungkin buat masa sekarang saya belum bersedia selain tak sampai jodoh lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Eyka juga baharu saja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Dukun Diva.

Disiarkan pada: November 1, 2021 @ 6:10am
d