utama

Lelaki maut jatuh dari buaian 'funfair'

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kajang: Seorang pengunjung tapak pesta ria (funfair) maut manakala seorang lagi cedera selepas terjatuh dari buaian berpusing yang terletak berhampiran pusat beli-belah di Cheras Selatan di sini, tengah malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Nasir Drahman berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada pekerja tapak pesta ria berkenaan pada 12.05 tengah malam.

"Saksi memaklumkan dua lelaki terjatuh dari buaian permainan fun fair.

"Salah seorang mangsa berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi. Seorang lagi mangsa berusia 30-an mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nasir berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.

Katanya, siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah dan setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

"Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian sama ada terdapat unsur kecuaian pada pihak pemilik funfair mahupun mangsa sendiri," katanya.

Beliau meminta individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Emran Mohd Noor di talian 013-7638512 atau balai polis berdekatan.

Disiarkan pada: November 11, 2021 @ 7:02pm
d