utama

Kalau sudah ajal...

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Malang tidak berbau apabila van sekolah dinaiki seorang murid Tahun Satu meragut nyawa kanak-kanak terbabit dalam kemalangan di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12.10 tengah hari, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun itu cedera di kepala dan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.10 tengah hari.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian van sekolah berkenaan menghantar murid dari Sekolah Kebangsaan Taman Seroja Sepang ke sebuah tadika yang dijadikan transit kepada murid terbabit sebelum ke Kelas Fardu Ain (Kafa).

Menurutnya, selepas selesai menurunkan kesemua murid di tadika berkenaan, pemandu van yang juga seorang wanita berusia 31 tahun terus bergerak ke hadapan.

Katanya, pada masa sama mangsa yang terakhir turun dari van melintas di bahagian hadapan van yang sedang bergerak itu lalu dilanggar kenderaan terbabit.

"Mangsa yang parah di kepala dikejarkan ke unit kecemasan Nilai Medical Centre pada 2.30 petang, bagaimanapun pegawai perubatan hospital berkenaan mengesahkan mangsa meninggal dunia.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat. Pemandu berkenaan dirakam percakapan dan kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hari ini tular video di media sosial memaparkan sebuah van melanggar seorang murid yang berjalan di hadapan van berkenaan untuk transit di sebuah tadika.

Video berkenaan dirakam melalui litar kamera tertutup (CCTV) milik seorang penduduk di taman berkenaan dan tular di media sosial.

Disiarkan pada: November 12, 2021 @ 11:46pm
d