utama

Peniaga bundle raih RM23,705 jualan amal, ikhtiar bantu Rozzana

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Seramai 30 peniaga pakaian dan kasut terpakai serta berjenama warga Malaysia yang menetap di Korea Selatan berganding bahu menjalankan jualan amal di laman Facebook (Fb) Saudagar JPKR, semalam.

Sesi jualan siaran langsung selama lebih dua jam itu berjaya meraih RM23,705 dan tujuannya adalah mencari dana bagi menampung kos perubatan Rozzana Mat Nanyan, 35, rakyat Malaysia yang masih koma di Hospital Myongji, Korea Selatan.

Kesemua wang hasil jualan disalurkan ke akaun Nur Diana Abdul Rahim Lee, 46, iaitu kakak tiri kepada Rozzana Mat Nanyan yang berada di Korea Selatan ketika ini.

Usahawan pakaian dan kasut Muhammad Nor Khuzaifah Zohari, 32, yang mesra disapa Jai selaku pencetus sesi jualan amal itu bersyukur dengan sambutan pengikutnya terharu apabila lebih 25,000 individu berkongsi video siaran langsung jualan di laman Fb masing-masing sekali gus menarik minat pengguna media sosial yang lain untuk membeli.

Katanya, hasil jualan itu tidak termasuk RM8,8125.94 yang disumbang pengikutnya dalam sesi siaran langsung sebelum ini yang menjadikan hampir RM112,000 dana keseluruhan terkumpul.

"Sesi jualan langsung semalam diadakan diadakan di pejabat saya dekat Ansan dan peniaga terbabit adalah rakan saya yang menetap serta berniaga di sekitar Korea Selatan.

"Kami menjual koleksi peribadi antaranya pakaian dan kasut pelbagai jenis jenama secara bidaan dengan nilai tertinggi adalah baju T vintaj Rolling Stones yang terjual pada harga RM3,000.

"Terima kasih kepada semua yang membeli dan berkongsi video jualan siaran langsung itu sebagai tanda sokongan malah saya hargai komitmen rakan peniaga kerana ada dalam kalangan mereka sanggup datang dari jauh dengan jarak empat jam perjalanan untuk sertai sesi jualan amal.

"Tidak lupa juga kepada rakan peniaga Hamzan (Ahmad, 43) menetap di Hiroshima, Jepun yang menyokong usaha ini daripada awal walaupun tidak dapat ke sini untuk turut serta," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sebelum sesi jualan amal bermula, Jai dan kesemua peniaga terbabit turut mengadakan doa selamat serta bacaan Yasin.

Menurut Jai, ia diadakan bagi mendoakan Rozzanal diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan supaya dapat dibawa pulang ke tanah air seperti yang diharapkan keluarga.

"Alhamdulillah, niat saya untuk jalankan jualan amal ini terlaksana.

"Ini ikhtiar yang saya dan rakan dapat lakukan untuk membantu Rozzana tetapi akan terus memantau perkembangannya dari masa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Nur Diana berkata, dia berterima kasih tidak terhingga di atas bantuan pasukan Saudagar JPKR mengumpul dana buat adiknya.

"Saya tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan kerana sangat bersyukur. Hanya Allah saja dapat membalasnya," katanya.

Pada 10 Oktober lalu, Harian Metro melaporkan kebimbangan Nur Diana mengenai keadaan Rozzana selepas adiknya dimasukkan ke Hospital Myongji selepas diserang asma.

Rozzana yang bekerja di kilang pembuatan buku dan kalendar di Incheon, Korea Selatan tidak sedarkan diri sejak 2 Oktober lalu iaitu hari pertama dimasukkan ke hospital kerana ditidurkan bagi mengelak terkena serangan sawan.

Susulan laporan itu, Kedutaan Malaysia di Seoul memaklumkan akan berusaha menyampaikan bantuan konsular kepada Rozzana.

Nur Diana pula berlepas ke Korea Selatan pada 8.40 malam, 21 Oktober lalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang sebelum transit di Singapura dan tiba di negara itu pada 9 pagi keesokan harinya.

Nur Diana bagaimanapun tidak dapat bertemu terus dengan Rozzana kerana dikehendaki menjalani kuarantin selama 10 hari terlebih dulu di sebuah hotel dekat Seoul.

Pada 4 November lalu, portal Harian Metro sekali lagi menyiarkan kisah Nur Diana yang merayu bantuan daripada orang ramai termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membantunya sekeluarga membawa pulang Rozzana ke Malaysia.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menghubungi Nur Diana di talian 011-70346900

#kw sesi, jualan, amal, bantuan, Korea Selatan

tamat

Disiarkan pada: November 14, 2021 @ 8:55pm
d