utama

Sindiket nikah di Thailand kenakan bayaran RM3,000 hingga RM50,000 [METROTV]

Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Sindiket nikah di Thailand dikatakan mengenakan caj minimum RM3,000 sehingga RM50,000 kepada pasangan yang ingin berpoligami atau gagal mendapat restu isteri pertama untuk bernikah.

Bagaimanapun, caj RM50,000 itu dikatakan hanya dikenakan kepada golongan VIP dengan segala urusan disediakan ejen sindiket terbabit.

Bagi kos semahal itu, pasangan pengantin akan diambil dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa menggunakan kenderaan mewah untuk ke Thailand bagi proses akad nikah.

Mendedahkan perkara itu, ejen sindiket nikah yang mahu dikenali sebagai Adi, 60, mendakwa, pasangan pengantin sanggup membayar walaupun dikenakan kos RM50,000.

"Kebanyakan yang saya terima daripada pelanggan membabitkan kes poligami kerana tidak mendapat restu daripada isteri pertama.

"Namun, bayaran RM50,000 hanyalah kes terpencil dan dikenakan untuk golongan VIP sahaja, manakala bagi pasangan biasa, hanya kos serendah RM3,000 dikenakan.

"Jika bayaran mahal, pasangan pengantin juga boleh memilih sama ada mahu berkahwin di Thailand atau meminta imam berkenaan datang ke mana-mana hotel di Kelantan," katanya ditemui di sini, hari ini.

Adi berkata, bagi bayaran serendah RM3,000, pasangan berkenaan akan ke Thailand melalui pangkalan haram berbanding kos mahal melalui jalan darat.

"Proses akan nikah hanya berlangsung antara 15 hingga 20 minit sahaja dan kebanyakannya akan dilakukan pada pagi memandangkan pasangan pengantin mahu pulang ke negeri masing-masing pada hari yang sama.

"Setiap pengantin akan dibekalkan dengan sijil nikah bagi membolehkan mereka membuat pendaftaran di negeri masing-masing," katanya.

Adi turut memaklumkan, dia menerima bayaran RM500 bagi setiap kes sekiranya berjaya mencari pasangan yang mahu menggunakan khidmat nikah di Thailand.

"Tugas saya hanyalah mencari pasangan yang mahu berkahwin sebelum diserahkan kepada orang tengah yang bertindak menguruskan perkara itu dengan pihak Thailand.

"Orang tengah pula akan membayar kepada imam di Thailand sebanyak RM1,000 bagi setiap kes," katanya.

Adi menjelaskan, isu sindiket nikah Thailand itu tidak akan selesai kerana sijil nikah akan diperoleh di negeri masing-masing sekiranya mereka tampil untuk mendaftar dan membayar denda.

"Perkara ini hanya akan selesai jika pihak berkuasa agama negeri tidak mengeluarkan sijil nikah bagi pasangan yang berkahwin di Thailand atau menggunakan sindiket.

"Mereka yang mahu bernikah di Thailand mungkin akan berfikir terlebih dahulu," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 2:37pm
d