utama

Tiada kartel dalam PDRM - Hamzah [METROTV]

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengesahkan tidak wujud gerakan 'kartel' dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didedahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, sebelum ini.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, siasatan dalaman berhubung dakwaan itu dilakukan PDRM dan bagi memastikan ketelusan, perkara itu turut dibawa kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk meneruskan siasatan.

"Ada dua siasatan berhubung perkara ini dan PDRM sudah menjalankan siasatan dalaman dan mendapati tiada 'kartel' sebagaimana dinyatakan.

"Siasatan kedua daripada SIAP yang bebas untuk jalankan siasatan, tetapi belum dapat lagi (hasil siasatan)," katanya.

Hamzah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara pada April lalu menyatakan wujudnya kartel dalam pasukan keselamatan itu, selain cubaan untuk menjatuhkan beliau kerana lantang mendedahkan salah laku, integriti dan rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.

Sementara itu, mengulas dakwaan akaun Twitter dan Telegram 'Edisi Siasat' berhubung isu pembelian pangkat dalam PDRM, Hamzah berkata, siasatan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM dari sudut tata tertib mendapati, isu itu tidak berlaku.

Beliau berkata, semua urusan kenaikan pangkat dilaksanakan menerusi prosedur betul.

"Segala isu dibangkitkan oleh mana-mana pihak akan diberikan penelitian sewajarnya berdasarkan laporan dibuat pengadu, bagaimanapun mana-mana isu dibangkitkan tanpa butiran pengadu, tidak akan dilayan.

"Budaya fitnah atau membentuk persepsi buruk tanpa bertanggungjawab terhadap isu yang ditimbulkan adalah satu perbuatan sangat tidak bertanggungjawab.

"Tindakan akan diambil berdasarkan laporan polis bersandarkan kepada maklumat dan aduan sahih sahaja dan bukan dalam bentuk surat layang sama ada secara fizikal atau digital," katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 7:26pm
d