utama

Hasil usaha peminat

Oleh Norhayati Nordin

SEBUT saja nama Siti Nordiana Alias atau Nana ketika ini, pasti bahang panasnya cukup dirasai berhubung kes saman terhadap lima individu yang didakwa memfitnahnya belum selesai.

Yakin dengan keadilan undang-undang negara, Nana sentiasa sedia memberi kerjasama yang baik sehingga ia menemui keputusan adil buat semua pihak.

Namun, kini Nana dalam 'mood' meraikan penuh kesyukuran kemenangan di Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) baru-baru ini yang boleh dikata bagai 'pentas tahunan' untuk ibu tunggal seorang anak berusia 37 tahun ini.

Di malam kemuncak ABPBH34 itu, Nana meraih tiga trofi iaitu Penyanyi Wanita Popular Xiaomi, Artis Versatil Popular termasuk Anugerah FANtastik Popular menerusi Siti Nordiana FC bagi kategori dalam talian.

Mengulas kejayaannya, penyanyi yang popular dengan lagu Hatiku Milikmu dan Angkara ini berkata, ia diperoleh hasil usaha daripada pasukan peminatnya yang tanpa jemu terus mengundi.

"Sebenarnya, pada usia saya yang sudah mencecah 37 tahun dan bersaing pula dengan kebanyakan bakat-bakat muda, memang boleh dikata rezeki saya. Apatah lagi, saingan dalam 'Top 5' itu rata-rata bukan calang-calang.

"Namun, inilah rezeki daripada Allah yang tiada siapa tahu walaupun pesaing lain turut dicalonkan hebat-hebat belaka. Untuk itu, saya sangat berterima kasih kepada semua ahli kelab peminat Siti Nordiana FC," katanya.

Ditanya juga pandangan Nana mengenai dakwaan segelintir pihak yang memandang sinis dengan trofi kemenangan hasil undian peminat yang dikata membabitkan 'pembelian', Nana berkata, kejayaannya berdasarkan 100 peratus daripada sokongan peminat.

"Selama ini apabila nama saya dicalonkan dalam pertandingan memang kuasa undian itu sepenuhnya diserahkan kepada peminat. Saya percaya pada mereka atas apa saja yang dilakukan untuk terus menyokong saya," katanya.

Nana yang juga juara program Gegar Vaganza musim kedua pada 2015 berkata, kelab peminatnya setakat ini sentiasa membuat terbaik untuknya dan semua usaha murni itu sangat-sangat dihargai.

Sudah berjaya mengumpulkan lebih lima trofi ABPBH sejak namanya berjaya dicalonkan dalam 'Top 5' beberapa tahun lalu, Nana berkata, sokongan peminat terhadapnya sangat besar dan cukup bermakna.

"Selain kekuatan daripada peminat, sebenarnya kejayaan saya ini turut didorong oleh pihak pengurusan dan doa ibu bapa serta galakan keluarga. Mereka setiap masa ada bersama-sama saya.

"Saya sentiasa mendapat semangat yang positif daripada mereka untuk terus memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Justeru, sekali lagi saya sangat berterima kasih pada semua ini," katanya.

Nana yang sudah dua dekad membabitkan diri dalam kerjaya seni dan pernah melalui fasa jatuh bangun karier berharap pasukan peminatnya akan terus setia menyokong kerjayanya sampai bila-bila.

Nana yang turut aktif berlakon sebelum ini cukup mendapat perhatian menerusi beberapa drama seperti Dia Semanis Honey, Klik! Pengantin Musim Salju, Cekelat Honey dan Satukan Rasa.

Lagu M Nasir, duet Bunga

Selain kejayaan dicapai, Nana juga tidak berselindung mengenai perancangan kerjaya nyanyian dan lakonan yang diatur.

Katanya bagi lakonan, dia perlu menghabiskan baki penggambaran drama Sayap Bagimu.

Drama ini akan menggandingkan dia dengan 'hero lamanya'

semula, Alif Satar selepas menyepi seketika. Menurut Nana, penggambaran drama itu tertangguh beberapa bulan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

"Bagi nyanyian pula, saya tidak sabar untuk muncul dengan single baharu secara duet bersama penyanyi Bunga. Insya-Allah, jika tiada aral lagu baharu berkonsep 'EDM nusantara' yang pertama kali saya nyanyikan ini akan dilancar tidak lama lagi.

"Muzik video lagu pula bakal dilancarkan pada Disember nanti. Bukan hanya projek lagu kerjasama, saya juga teruja hendak merakamkan single solo baharu hasil ciptaan komposer amat dikagumi, Datuk M Nasir," katanya.

Nana berkata, lagu solo itu masih lagi dalam pembikinan dan dia dijangka masuk ke studio rakaman pada Januari atau Februari tahun depan.

Katanya, dia kini sebaik mungkin merancakkan semula jadual kerja.

Mengharapkan sinar kegemilangan yang positif untuk kerjaya dan kehidupannya pada tahun 2022 ini, Nana berkata, dia kalau boleh tidak mahu lagi dipalit dengan kisah sensasi yang memberi impak pada reputasinya.

Disiarkan pada: November 17, 2021 @ 6:00am
d