utama

Perogol bersiri di Pakistan mungkin dikembiri

Oleh Agensi

Islamabad: Pakistan mungkin melaksanakan hukuman pengebirian kimia (chemical castration) terhadap perogol bersiri.

Perkara itu diluluskan dalam Parlimen Pakistan untuk menghukum pesalah rogol dalam kes berkenaan menggunakan kaedah itu.

Undang-undang baharu bertujuan mempercepat proses sabitan dan menjatuhkan hukuman lebih berat kepada pesalah disabitkan dengan pelbagai dakwaan rogol.

Rang Undang-Undang (RUU) itu tindak balas kepada bantahan orang ramai terhadap peningkatan kes rogol wanita dan kanak-kanak di negara itu.

Kelulusan RUU itu diputuskan hampir setahun selepas Presiden Arif Alvi meluluskan ordinan antirogol baharu yang diluluskan Kabinet Pakistan.

Ia memberi laluan kepada hukuman pengebirian kimia terhadap perogol dengan persetujuan banduan dan penubuhan mahkamah khas.

RUU Jenayah (Pindaan) 2021 diluluskan bersama 33 RUU lain menjelang sidang parlimen pada Rabu.

Lapor, akhbar Dawn, ia bertujuan meminda Kanun Keseksaan Pakistan 1860 dan Kanun Prosedur Jenayah 1898.

"Pengebirian kimi proses sesuai dengan peraturan dirangka perdana menteri, di mana seseorang tidak dapat melakukan hubungan seksual untuk beberapa tempoh dalam hayatnya seperti ditentukan mahkamah," menurut RUU itu yang dipetik NDTV.

Hukuman terbabit sah di beberapa negara termasuk Korea Selatan, Poland, Republik Czech dan sesetengah negeri di Amerika Syarikat.

Sementara itu, Senator Jemaah Islamiyah, Mushtaq Ahmed membantah RUU dan menyifatkan hukuman itu bertentangan dengan syariah.

Katanya, seorang perogol harus dihukum gantung secara terbuka namun tiada pengebirian disebut dalam syariah.

Disiarkan pada: November 21, 2021 @ 6:30am
d