utama

Mesej sampai waktu 'sesak'

Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Maria (bukan nama sebenar), 47, berumah tangga dengan suami sejak 25 tahun lalu dan hanya kerana kehilangan kerja tahun lalu, dia dicerai dengan talak satu.

"Sakit dicerai sudah satu cerita, tapi kaedah dicerai lebih menyakitkan. Suami melafazkan cerai dengan hanya melalui kiriman aplikasi WhatsApp," katanya.

Menurut Maria, dia terpaku ketika menerima kiriman mesej itu sebelum menghubungi suami untuk mendapatkan penjelasan.

"Mesej melalui aplikasi WhatsApp itu dikirim pertengahan tahun ini ketika saya masih berusaha mencari kerja baru. Saya hubungi suami namun dia enggan menjawab sebaliknya hanya mahu berbalas mesej saja," katanya.

Menurut Maria, ketika itu, dia di rumahnya di Cheras manakala suami berada di rumah ibu bapanya di Shah Alam, Selangor.

Kata Maria, suami memaklumkan dia tidak mampu untuk menanggungnya kerana pendapatan hanya 'cukup-cukup makan.'

"Selama ini saya yang banyak menanggung hidup suami kerana gajinya cuma RM2,300. Saya tidak pernah berkira tentang itu. Saya terkilan, hanya kerana tidak bekerja, saya dicerai. Bukan secara bersemuka sebaliknya melalui kiriman WhatsApp," katanya.

Menurut Maria, mujur mereka masih tidak dikurniakan zuriat walaupun sudah lama berkahwin. Jika sebaliknya, pasti anak mereka yang menjadi mangsa keadaan.

Kata Maria, dia kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah syariah dan selang beberapa minggu, ia dapat diselesaikan.

"Saya disunting daripada keluarga dengan cara baik namun pengakhirannya, saya dilepaskan dengan cara yang tidak wajar.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semuanya sudah berakhir dan kini, saya juga sudah mendapat kerja baru sebagai eksekutif tenaga manusia di sebuah syarikat swasta di ibu kota," katanya.

Maria meminta wanita yang dicerai melalui aplikasi WhatsApp atau SMS supaya tabah dan tidak mengambil jalan singkat untuk melakukan perkara lain.

"Dapatkan maklumat berkaitan perkara ini dan kemudian, pergi ke mahkamah syariah untuk dapatkan hak anda," katanya.

Talak tiga angkara sihir pemisah

Ramli (bukan nama sebenar), 40, tiba-tiba menceraikan isterinya, Maimunah (bukan nama sebenar), 39, dengan talak tiga dan semuanya angkara sihir pemisah.

Menceritakan kes berkenaan, Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Yusmawati Ab.llah berkata, mahkamah memang tidak menerima unsur sihir namun mahkamah boleh mendengar kes sebegitu.

"Kes ini melalui pembacaan berkaitan rekod kes terdahulu. Ia membabitkan pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin namun akhirnya, isterinya diceraikan dengan talak tiga akibat si suami terkena sihir pemisah.

"Ia berlaku selepas si suami memenangi tender pembekalan makanan di kantin sebuah kilang di selatan tanah air beberapa tahun lalu," katanya.

Menurut Yusmawati, pasangan itu mengusahakan perniagaan kantin untuk menyara hidup.

Kata Yusmawati, sejak memenangi tender, Ramli mengalami banyak perubahan dalam diri.

"Fikiran Ramli tidak tenteram selain mudah benci dan marah kepada isterinya tanpa sebab.

"Ramli juga memukul isterinya dan pada masa sama, dia menyatakan tidak sedar dengan apa yang dilakukannya," katanya.

Berdasarkan rekod kes, menurut Yusmawati, dalam keadaan tidak keruan, Ramli membuat permohonan menceraikan isterinya di mahkamah.

Pada satu hari, ketika di kantin, menurut Yusmawati, Ramli menjumpai bungkusan kain putih.

"Ramli berasakan ada sesuatu tidak kena lalu menemui seorang pengamal perubatan tradisional untuk mendapatkan rawatan.

"Menurut perawat itu, Ramli terkena sihir pemisah kerana memperoleh tender kantin," katanya.

Menurut Yusmawati, individu yang dengkikan kejayaan Ramli menyihir lelaki berkenaan supaya bercerai dengan isterinya.

"Selepas dirawat selain menarik diri daripada berniaga di kantin berkenaan, Ramli pulih dan dapat berfikiran dengan waras.

"Ramli membuat rayuan agar mahkamah membatalkan perceraian sebelumnya atas alasan dia di bawah pengaruh sihir," katanya.

Menurut Yusmawati, untuk kes cerai akibat dikenakan sihir pemisah, seseorang itu perlu membuktikan beberapa perkara seperti mengalami simptom sihir dan lain-lain.

"Selain itu, perawat perubatan Islam diiktiraf jabatan agama dan pejabat mufti perlu dibawa ke mahkamah sebagai saksi serta bukti," katanya.

Menurut Yusmawati, perawat akan memaklumkan kepada mahkamah apa yang berlaku.

Kerana itu, menurut Yusmawati, mahkamah memerlukan bukti seperti perawat perubatan Islam diiktiraf jabatan agama bagi menyokong keterangan diberi sebagai saksi pakar.

Menurut Yusmawati, mahkamah boleh tidak mensabitkan perceraian berkaitan jika keterangan atau bukti diberi mencukupi.

Dalam kes sebegini, suami perlu membuktikan secara terperinci keadaan berikut.

"Seorang suami mendakwa talak dilafaz dalam keadaan dirinya dipengaruhi sihir atau seorang isteri mendakwa suaminya melafazkan talak dalam keadaan diri suami tersebut dipengaruhi sihir," katanya.

Menurut beliau, pihak yang mendakwa perlu membuktikan kepada mahkamah wujud tanda-tanda dan simptom lazim terkena sihir' pada diri suami.

"Atau, suami mengalami ketidakwarasan atau ketidaksempurnaan akal akibat terkena sihir semasa dia melafazkan talak atau ketidakwarasan pemikiran akibat terkena sihir menjejaskan kebolehan untuk mempertimbangkan apa yang dilakukannya itu benar atau salah," katanya.

Menurut Yusmawati, mahkamah boleh menerima rayuan untuk membatalkan perceraian berkaitan jika keterangan atau bukti diberikan mencukupi.

Suami tak sabar, kurang ilmu

Lafaz cerai melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp ada kalanya dilakukan oleh si suami kerana mereka tiada ilmu selain tidak sabar memutuskan hubungan dengan isteri.

Exco Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Yusmawati Ab.llah berkata, beliau mengendalikan kes cerai sejak 2006 dan hingga kini sudah berdepan sehingga 20 kes lafaz cerai melalui SMS serta aplikasi WhatsApp.

"Bukan itu saja, malah ada juga melafazkannya melalui panggilan telefon," katanya.

Yusmawati berpandangan, lafaz cerai melalui SMS, aplikasi WhatsApp selain panggilan telefon ini bukan perkara sepatutnya dilakukan.

"Ia perkara yang tidak beradab dan tidak bersopan dilakukan oleh suami.

"Ketika berkahwin, mengapa ia boleh dilakukan dengan tertib serta baik. Mungkin juga ia dilafazkan secara begitu hanya semata-mata untuk menyakiti hati isteri dan tidak dapat menahan marah," katanya.

Kata Yusmawati, tidak perlu melafaz cerai menggunakan kaedah terbabit.

"Pasangan suami isteri boleh saja terus ke mahkamah syariah untuk proses perceraian dan menyelesaikan perkara itu secara baik.

"Ketika ini, seperti di Mahkamah Syariah Selangor dan Wilayah Persekutuan, ada sistem dikenali sebagai fast track yang mana pasangan berkaitan boleh datang ke mahkamah membawa dokumen seperti kad pengenalan serta salinan surat nikah.

"Mahkamah boleh mendengar kes pada hari itu jika tidak sibuk dengan syarat antaranya isteri mesti suci daripada haid serta tidak berlaku persetubuhan sepanjang tempoh suci tersebut," katanya.

Menurut Yusmawati, jika pasangan suami isteri memang mahu berpisah dengan baik, perceraian boleh disabitkan mahkamah tanpa melalui banyak proses lain.

Disiarkan pada: November 27, 2021 @ 12:00pm
d