utama

Tiga pelajar tahfiz mengaku buli dua junior

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kajang: Tiga pelajar sebuah pusat tahfiz yang membuli dua pelajar junior dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Ketiga-tiga tertuduh juvana berusia 16 dan 17 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap dua kanak-kanak berusia 10 dan 12 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di bilik asrama sebuah madrasah tahfiz di Hulu Langat di sini, pada jam 7.30 malam, 31 Oktober lalu.

Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 29 Disember depan untuk pendengaran laporan akhlak, sebelum hukuman dijatuhkan.

Dalam mahkamah sama, seorang lagi tertuduh iaitu Muhammad Muaz Zainul Abidin, 24, yang juga rakan kepada tiga tertuduh juvana itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama.

Mahkamah menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tiga tertuduh juvana itu diikat jamin RM1,000 setiap seorang dan Muhammad Muaz diikat jamin RM1,500.

Pada 24 November lalu, Harian Metro melaporkan dua beradik menjadi mangsa buli sekumpulan pelajar senior di sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat.

Kejadian itu terbongkar apabila bapa saudara dua pelajar itu melihat ada kesan kecederaan pada badan dan muka mereka lalu membuat laporan polis.

Disiarkan pada: November 29, 2021 @ 2:24pm
d