utama

15 tahun ditipu

Oleh Agensi

Rom: Seorang bintang sukan Itali ditipu 'hidup-hidup' dan kini dikelilingi hutang selepas mempercayai dia bercinta dan bertunang dengan supermodel dari Brazil.

Roberto Cazzaniga, 42, bekas pemain pasukan bola tampar kebangsaan Itali dan kini menjadi kapten pasukan Gioia Del Colle, yakin dia menjalinkan hubungan jarak jauh dengan seorang wanita bernama Maya.

Dia dan Maya menjalin hubungan selama lebih 15 tahun.

Portal Mirror melaporkan hubungan mereka bermula selepas dia diperkenalkan dengan Maya melalui telefon oleh rakan bernama Manuela.

Tanpa disedari, Manuela adalah dalang penipuan itu.

Maya memberikan gambar supermodel Brazil yang pernah tampil dalam kempen jenama Victoria Secret, Alessandra Ambrosio.

Wanita itu mendakwa dirinya juga sebagai seorang supermodel Brazil dalam usahanya untuk memperdaya Cazzaniga.

Pasangan itu tidak pernah bertemu, tetapi lelaki itu mendakwa mereka sudah bertunang.

Dia juga menghantar hadiah mewah serta bantuan kewangan kepada bakal isterinya selama bertahun-tahun.

Beberapa hadiah yang didakwa dihantarnya termasuk kereta mewah, Alfa Romeo Mito dan lebih 700,000 euro (RM3.4 juta) untuk perbelanjaan perubatan bagi merawat penyakit jantung.

Selepas mendapat tekanan daripada rakan sepasukannya untuk menyelidiki perkara itu, Cazzaniga kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa Itali.

Dia kemudian memaklumkan menjadi mangsa penipuan.

Bercakap mengenai hal itu dalam program televisyen Itali, Le Iene, dia mendedahkan kisahnya kepada umum dan mengakui dia ditipu dan kini menanggung hutang beribu-ribu Euro.

"Saya mempunyai banyak hutang, bukan mudah untuk 'sedar daripada koma'," katanya sebak.

Sepanjang hubungan 15 tahun mereka, Cazzaniga percaya dia bercakap dengan Maya.

Tetapi sebenarnya dia bercakap dengan seorang wanita etnik Sardinia yang dinamakan dalam media tempatan sebagai Valeria.

Disiarkan pada: December 3, 2021 @ 6:40am
d