utama

507 terlepas

Oleh Agensi

London: Seorang antivaksin dipenjara tiga bulan selepas 'mengunci' pintu sebuah farmasi yang dijadikan pusat pemberian vaksinasi Covid-19 dengan menggunakan gam kuat.

Tindakan tidak bertanggungjawab lelaki itu, Hayden Brown, 53, dari Gorleston, Norfolk, menyebabkan 504 orang terlepas janji temu suntikan dos penggalak mereka.

Portal Mirror melaporkan Brown mengaku bersalah melakukan jenayah itu pada Jumaat lalu atas beberapa pertuduhan.

Brown dihadapkan di Mahkamah Majistret Norwich dan mengaku bersalah melakukan jenayah kerosakan.

Ketika kejadian, Brown menuangkan gam kuat ke dalam lubang kunci premis itu sehingga menyekat pintu berkenaan.

Dia melakukan perbuatan itu di Pharmacy Express yang terletak di Lowestoft Road, Gorleston pada Jumaat lalu.

Sebelum ini, farmasi sama pernah menjadi sasaran kumpulan antivaksin pada 12 dan 20 November lalu.

Brown juga mengaku menyebabkan gangguan awam dengan menghalang seramai 504 golongan berisiko mendapatkan suntikan dos penggalak.

Dia juga mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu memiliki dadah Kelas B selepas sejumlah ganja ditemukan di rumahnya ketika ditahan.

Brown ditahan polis selepas dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera tersembunyi yang dipasang di pusat vaksinasi itu selepas dua kejadian sebelum ini.

Disiarkan pada: December 4, 2021 @ 6:45am
d