utama

Tradisi toksik senior - junior

Oleh Nazarali Saeril

Buli datang lagi. Kali ini, ia membabitkan sekumpulan 'hero asrama' yang cukup hebat dilihat tertawa sambil membuli pelajar lain.

Buli hingga menyebabkan kematian pernah direkodkan, buli yang mendatangkan kecederaan parah juga pernah ada.

Apa yang sukar dilihat ialah pembuli dihukum dengan keras, biasanya alasan diberi ialah pembuli juga ada masa depan perlu diberi perhatian.

Sekali lagi, pembuli terlepas dan dia boleh bercerita dengan rakan kehebatannya menumbuk, memukul selain membelasah pelajar lain.

Bagaimana dengan mangsa? Trauma seumur hidup, menanggung kecederaan yang kos rawatannya juga sudah pasti tidak ditanggung oleh keluarga pembuli.

Ikuti wawancara Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat) Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), PROF MADYA DR ZAINAL MADON dengan Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengupas isu ini.

Punca buli, khasnya membabitkan pelajar di asrama?

Status senior-junior menjadi penyumbang kes buli khususnya di asrama. Senior berharap junior menunjukkan rasa hormat dengan mengikut segala arahan yang diberi.

Arahan itu termasuk melakukan kerja-kerja yang diminta. Jika junior engkar atau buat tak endah, senior akan menuduh junior kurang ajar, besar kepala, berlagak.

Tuduhan ini akan diikuti dengan hukuman yg berbentuk fizikal, mental dan emosi.

Situasi ini diwarisi daripada satu kemasukan ke kemasukan berikutnya.

Malah, boleh dikatakan, ia sudah menjadi sub budaya remaja.

Bagi pelajar perempuan pula, situasi buli banyak berlaku dalam bentuk mental dan emosi.

Junior yang didapati tidak hormat senior akan dipulau dan dimalukan.

Selain itu, buli berlaku kerana pelajar di asrama hidup dalam persekitaran yang dikelilingi rakan sebaya.

Pelajar yang dibuli tiada pilihan kecuali akur dengan apa jua yang berlaku kerana takut jika membuat aduan, akan menerima hukuman lebih berat daripada pembuli.

Selain itu, di sekolah biasa, tempoh masa interaksi adalah singkat. Oleh itu, situasi buli berlaku secara terkawal.

Mengapa individu tertentu itu, seperti pelajar, menjadi pembuli?

Ada beberapa keadaan untuk menjelaskan berkaitan pembuli.

Pertama, pembuli itu sendiri pernah menjadi mangsa buli. Justeru, untuk membalas dendam, apabila sudah bergelar pelajar senior, mereka lakukan perkara sama terhadap junir.

Kedua, personaliti yang agresif dan ganas. Ini berkemungkinan wujud disebabkan gaya asuhan ibu bapa yang keras dan kasar.

Ketiga, rasa superior atau berkuasa. Pelajar atau pembuli ini berkemungkinan rasa bangga dan beranggapan dirinya hebat.

Watak ini selalu akan membuli individu yang lemah untuk tunjuk lagak.

Pembuli di asrama hanya ambil kesempatan terhadap mangsa yang dilihat berseorangan atau kurang kawan.

Biasanya, pembuli hanya akan mengambil kesempatan terhadap mereka yang lemah.

Jika perlakuan buli dilakukan secara berkumpulan, ia akan menjadikan pembuli ini untuk bertindak dengan lebih berani dan agresif.

Buli di asrama umpama tidak boleh dapat dipisahkan.

Sistem senior-junior yang menjadi tradisi dan sub budaya mewarisi perkara ini.

Persekitaran asrama yang sepenuh masa juga menyebabkan buli berlaku secara terancang dan tidak langsung.

Buli terancang berlaku apabila sekumpulan pembuli membuat perancangan rapi bila, di mana, bagaimana buli boleh dilaksanakan. Ia untuk mengelakkan mereka tertangkap.

Sungguhpun begitu, ada juga yang merakam perlakuan buli untuk tujuan suka-suka dan melihat rakaman itu semula.

Secara umum, perlakuan buli boleh dijelaskan melalui teori pembelajaran sosial Albert Bandura.

Pembuli melihat perlakuan buli daripada senior dan ini ditiru dan dibuat oleh mereka apabila mereka menjadi senior. Kerana itu, ia masih berterusan.

Bagaimana mahu atasi isu buli?

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sudah ada garis panduan untuk tangani isu buli ini.

Bermula dengan menyediakan talian khas untuk melaporkan kes buli di sekolah, kaedah pencegahan, kaedah hukuman, kaunseling dan lain-lain.

Kemungkinan isu buli ini akan berterusan kerana pemantauan dan pelaksanaan hukuman yang ada tidak cukup berat untuk membuatkan pembuli dan bakal pembuli rasa serik atau takut bagi melakukan perkara berkenaan.

Disiarkan pada: December 12, 2021 @ 7:30am
d