utama

Hasrat tercapai, Khatul Anuar sanding bertiga

Oleh Redzuan Muharam

Alor Setar: Selepas sekian lama tertangguh, hasrat penjaga gol pasukan Kuala Lumpur City (KL City), Khatul Anuar Md Jalil untuk bersanding di atas pelamin indah akhirnya tercapai.

Istimewanya, Khatul Anuar, 24, dan isterinya, Nurul Ain Ahmad Petari, 23, tidak bersanding berdua sebaliknya ditemani cahaya mata, Khalish Arjuna Khatul Anuar yang lahir pada 18 Mac lalu.

Majlis persandingan itu diadakan di sebuah dewan di sini, pada Jumaat lalu dan dihadiri 600 tetamu terdiri daripada keluarga dan rakan terdekat.

Kisahnya mendapat perhatian selepas Khatul Anuar berkongsi gambar persandingan berkenaan di media sosial.

"Idea bersanding dengan anak datang daripada isteri. Saya ikut saja dan kami yang tempah persalinan lengkap dengan tanjak untuk anak juga sempena majlis itu.

"Majlis cukup istimewa dan saya anggap ia sebagai memori terindah serta rezeki kami dapat cahaya mata awal," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Khatul Anuar berkata, dia dan isteri diijabkabulkan pada 7 Julai 2020 di Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, lewat sebulan daripada dirancang kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami sempat mengadakan majlis persandingan ringkas tetapi di sebelah isteri saja pada 21 Oktober 2020.

"Ketika itu, isteri sudah mengandung namun kami merahsiakannya kerana usia kandungan masih awal. Ikutkan majlis resepsi di sebelah saya pada November tahun sama tetapi tidak dapat diadakan kerana pandemik," katanya.

Disebabkan bayaran bagi tempahan dewan, makanan dan pakaian sudah dibuat serta tidak boleh dikembalikan, Khatul Anuar enggan membatalkan majlis sebaliknya menangguhkannya ke masa yang sesuai.

"Disebabkan bayaran sudah dibuat, saya nekad teruskan juga majlis yang sepatutnya dihadiri 1,000 tetamu tetapi dihadkan kepada 600 orang sahaja demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Syukur semuanya selesai dan terima kasih kepada semua yang mendoakan," katanya.

Disiarkan pada: December 14, 2021 @ 11:57pm
d