utama

Sindiket jual anak luar nikah RM12,000 tumpas

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Kegiatan sindiket pemerdagangan bayi dikenali Geng Nana yang dipercayai aktif menjual bayi di Instagram sejak Mac tahun lalu, berjaya ditumpaskan polis.

Kesemua 14 ahli sindiket itu termasuk ketuanya dikenali Nana berusia 33 tahun dicekup dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Melaka Tengah, sejak 1 hingga 20 Disember lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kegiatan sindiket ini terbongkar selepas pihaknya menerima aduan pada 30 November 2021 daripada pasangan suami isteri yang mendakwa tidak menerima sebarang dokumen selepas urusan mengambil anak angkat perempuan daripada suspek.

Beliau berkata, pasangan ini membayar RM12,000 kepada sindiket dan selepas empat bulan mereka tidak menerima sebarang dokumen atau surat beranak.

"Pasangan ini kemudian merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis untuk tindakan seterusnya dan susulan itu polis kemudian melancarkan Op Pintas Nana.

"Susulan itu seramai 16 ditahan termasuk Nana, tujuh wanita dan lima lelaki tempatan, empat wanita warga Indonesia serta sepasang suami isteri berusia antara 25 hingga 58 tahun," katanya.

Beliau berkata, selain tangkapan ke atas suspek, polis turut berjaya menyelamatkan tiga bayi berusia antara dua hingga tujuh bulan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

"Modus operandi sindiket ini adalah mengiklankan di Instagram bayi ini dengan harga RM12,000 selain ahlinya akan mencari wanita yang mengandung anak luar nikah serta membuat tawaran.

"Wanita ini kemudian akan ditempatkan di inap desa dan segala kos ditanggung sindiket sehingga mereka melahirkan anak," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, proses kelahiran didakwa dijalankan di inap desa dan disambut seorang bidan wanita berusia 27 tahun yang kini masih bebas.

"Bidan ini dikatakan dibayar RM1,000 bagi setiap proses kelahiran dan usaha mengesannya giat dijalankan bagi membantu siasatan.

"Dikatakan bayaran akan dibuat oleh keluarga angkat secara berperingkat sehingga jumlah RM12,000 selesai dibayar," katanya.

Menurut beliau, selain tangkapan, polis turut merampas empat kenderaan, lapan telefon bimbit serta pasport termasuk dokumen digunakan untuk urusan kelahiran bayi dan serahan bayi.

"Bayi dan kanak-kanak yang berjaya diselamatkan kini berada di bawah JKM dan kesemua mereka kini direman sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007," katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2021 @ 1:32pm
d