utama

Banjir: 17 disahkan terkorban di Selangor

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sebanyak 17 kematian direkodkan di tiga daerah sehingga jam 8 pagi tadi akibat banjir yang melanda Selangor sejak Jumaat lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, 10 kematian direkodkan di Klang; tiga di Hulu Langat dan empat di Sepang.

Katanya, punca sebenar kematian mangsa sedang dikenal pasti yang mana mungkin ada mangsa meninggal dunia disebabkan kekurangan ubat dan lain-lain.

"Setakat jam 8 pagi, 17 kematian dicatatkan di Selangor membabitkan tiga daerah. Punca kematian akan dimuktamadkan dalam masa terdekat. Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Pada sidang media berkenaan, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

Dalam pada itu, bagi perkembangan jumlah mangsa banjir di negeri ini, Amirudin memaklumkan sehingga jam 8 pagi sejumlah 30,632 mangsa ditempatkan di 203 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Selangor.

"Kesemua mangsa berkenaan adalah dari 4,672 keluarga dan berdasarkan perkembangan di peringkat akar umbi, angka sebenar mangsa serta keluarga akan meningkat.

"Ia berdasarkan faktor yang mana beberapa daerah dilihat masih menunjukkan peningkatan paras air iaitu di Kuala Selangor, Kuala Langat dan Sepang," katanya.

Katanya, bagi individu atau keluarga yang tidak mahu berpindah ke PPS berikutan rumah mereka masih selamat untuk didiami, sumbangan bakul makanan diberikan untuk kegunaan mangsa.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, kerajaan Selangor akan mewujudkan Tabung Ikhtiar Selangor Bangkit sebagai platform kepada rakyat Malaysia terutama syarikat swasta, individu dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menyumbang kepada pemulihan kawasan yang terjejas dengan musibah banjir.

"Sebagai komitmen awal, saya akan menyumbang sebulan gaji saya kepada tabung ini sebagai tanda permulaan proses pemulihan," katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2021 @ 2:49pm
d