utama

Hasil empat lukisan satu masa

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Guru Pendidikan Seni, Mohd Saiful Baharom Shah, 39, memiliki teknik dan kebolehan luar biasa dalam menghasilkan lukisan.

Mana tidaknya, beliau mampu menghasilkan empat lukisan berbeza pada satu masa dengan menggunakan kedua tangan dan kakinya.

Malah, teknik luar biasa dimiliki guru terbabit menarik perhatian ramai dan pengikutnya di media sosial sentiasa menantikan lukisan dihasilkannya.

Terbaharu, Mohd Saiful memuat naik perkongsian video di akaun TikTok miliknya melukis potret penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza; Allahyarham Sudirman Arshad dan dua pemain bola sepak terkemuka Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Perkongsian itu ternyata mengagumkan warganet sehingga ada antara mereka meminta guru berkenaan untuk melukis dengan cara bersilang pula.

Berkongsi perkara itu, Mohd Saiful berkata, dia mengambil masa selama empat jam bagi menghasilkan empat lukisan berkenaan menggunakan kedua-dua kaki dan tangannya.

"Dua kali berehat kerana lenguh. Malah, untuk mengukuhkan genggaman pen di kaki, saya juga menggunakan pita pelekat supaya pen berkenaan tidak bergerak.

"Setiap gambar itu perlu dihasil dengan mengikut urutan, jadi apabila video terbabit dipercepatkan, ia dilihat seperti dihasilkan pada satu masa," katanya.

Mohd Saiful berkata, walaupun lukisan terbabit dihasilkan mengikut urutan, ia boleh disiapkan secara serentak.

Menurutnya, kunci dalam menyiapkan sesuatu lukisan dengan teknik yang menarik adalah kesabaran yang tinggi kerana ia memerlukan masa yang panjang serta harus teliti dalam setiap langkah.

Katanya, selain melukis menggunakan teknik kedua-dua tangan dan kaki, dia juga sebelum ini pernah mencipta hasil seni menggunakan penyepit makanan, garpu serta dua lukisan menggunakan dua pen dalam satu masa dengan teknik stapling.

"Sebelum ini saya ada banyak menonton video TikTok daripada orang luar yang menggunakan teknik-teknik yang menarik dalam menyiapkan lukisan.

"Jadi, dari situ saya mencuba teknik berkenaan dan akhirnya dapat menghasilkan lukisan mengikut cara mereka gunakan," katanya.

Mohd Saiful yang bakal bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Tajul Ariffin berkata, dia ingin menggunakan hasil karyanya sebagai inspirasi untuk mendorong dan membantu pelajar sekolah berkenaan dalam menguasai tangan dominan mereka serta menghasilkan lukisan dengan baik.

Disiarkan pada: January 8, 2022 @ 8:00pm
d