utama

Bah: 25.2 tan al-Quran rosak [METROTV]

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Sebanyak 25.2 tan mushaf al-Quran yang sudah rosak diterima oleh Pusat Pelupusan al-Quran Darul Kalam susulan tragedi banjir di beberapa negeri seluruh negara.

Ia membabitkan kawasan daripada sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Hulu Langat, Selangor dan Mentakab, Pahang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, semua kawasan itu membabitkan rumah persendirian, surau serta masjid, menghantar mushaf al-Quran yang sudah rosak ke Darul Kalam untuk dilupuskan.

"Sehingga 5 Januari lalu, kita sudah menerima sejumlah 25,284.6 kilogram (kira-kira 25.2 tan) mushaf al-Quran untuk dilupuskan di pusat pelupusan al-Quran Darul Kalam.

"Alhamdulillah, kita mempunyai kemudahan untuk melupuskan al-Quran dengan cara membakar. Abu berkenaan pula akan diletakkan di telaga simpanan khas untuk menjaga kesuciannya.

"Kita tidak mengenakan sebarang caj atau kos, ini adalah fardu kifayah namun mungkin untuk masa depan, kita bercadang untuk mengenakan kos minimum bagi tujuan penyelenggaraan peralatan di pusat ini," katanya.

Menjelaskan lanjut berhubung prosedur pelupusan al-Quran, Mohd Ajib berkata, langkah pertama yang dilaksanakan adalah menimbang setiap naskhah al-Quran yang diterima untuk rekod.

"Kedua, kita akan leraikan dan asingkan mushaf al-Quran yang mempunyai kulit keras (hard cover) ini.

"Untuk insiden banjir ini, kita perlu mengeringkan terlebih dulu helaian al-Quran berkenaan untuk memudahkan proses pembakaran seterusnya, setiap pembakaran dapat dilakukan dengan sempurna.

"Selain itu, jika kita terima dalam bentuk buku, petugas atau sukarelawan akan meleraikannya dan hanya halaman yang mempunyai ayat al-Quran saja akan dibakar," katanya.

Beliau berkata, selepas proses meleraikan selesai, petugas akan memasukkan setiap halaman berkenaan dalam mesin rincihan sebelum di bakar dalam satu relau khas selama empat hingga enam jam.

Katanya, selepas proses pembakaran selesai di dalam relau berkenaan, air akan dialirkan dan abu berkenaan akan diletakkan di dalam telaga penyimpanan abu al-Quran.

"Kita mempunyai empat telaga, termasuk satu telaga tambahan bagi penyimpanan abu al-Quran dan kita letakkannya di belakang Darul Kalam serta berpagar untuk menjaga kesucian abu al-Quran ini.

"Bagi kuantiti yang banyak, kita akan alirkan di laut hasil kerjasama dengan jabatan serta agensi lain," katanya.

Jumlah tertinggi diterima

Sebanyak 37.2 tan al-Quran sudah dilupuskan di Darul Kalam sejak 2017 dan jumlah tertinggi yang diterima adalah tahun ini susulan insiden banjir besar yang berlaku di beberapa negeri.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mahfuzah Zohdi berkata, kewujudan pusat pelupusan seperti Darul Kalam ini banyak memberi kemudahan kepada masyarakat dalam aspek pelupusan al-Quran.

"Berdasarkan rekod, Darul Kalam sudah melupuskan 37 tan al-Quran termasuk helaian buku yang mengandungi kalimah daripada kitab suci berkenaan.

"Pada 2019, kita merekodkan penerimaan pelupusan al-Quran yang agak tinggi iaitu 11 tan dan terbaharu, berkaitan insiden banjir besar ini, kita terima banyak permohonan untuk pelupusan al-Quran," katanya.

Menyentuh aspek penubuhan Darul Kalam, beliau berkata, ia adalah pusat pelupusan al-Quran yang dibangunkan bersama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) yang terletak di kawasan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah.

Kata beliau, Darul Kalam siap dibina pada 2014 bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah umat Islam di Wilayah Persekutuan.

Mahfuzah berkata, objektif utama pusat berkenaan adalah bagi menangani isu dan masalah untuk melupuskan teks atau bahan mengandungi ayat al-Quran yang rosak, tersalah cetak, dicemari kotoran, terkoyak dan ditenggelami banjir.

"Darul Kalam dibangunkan bagi menjalankan kerja pelupusan teks mengikut kaedah yang betul demi menjaga kesucian al-Quran.

"Kita juga melihat permasalahan iaitu lambakan al-Quran lama yang sudah rosak di masjid, surau atau kediaman sehingga memerlukan satu pusat yang khusus untuk tujuan ini.

"Rentetan itu, kita rujuk kepada Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-30, bahan teks al-Quran perlulah dilupuskan dalam keadaan yang terjaga seperti dibakar di tempat yang jauh daripada orang awam serta tersembunyi, kemudian ditanam atau dialirkan ke laut," katanya.

Menurut Mahfuzah, pada 2011, Mesyuarat Persidangan Ketua-Ketua Jabatan/Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia kali ke-87 memutuskan setiap negeri perlu mewujudkan pusat pelupusan al-Quran mengikut zon atau secara berpusat.

Katanya, bermula 2012, Jawi menyediakan kertas cadangan untuk pembinaan relau pelupusan al-Quran dan pada 2013, permohonan peruntukan diluluskan Maiwp untuk pembinaan kompleks berkenaan.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: January 16, 2022 @ 4:11pm
d