utama

Baru 1 malam dirawat, bil sudah cecah RM11,000 [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Jerantut: Rakyat Malaysia, Kamarulzaman Mohamed Fauzi@Jazuli kini koma dan sedang dirawat di Hospital Besar Hyosung, Cheongju, Korea Selatan sejak malam tadi, selepas pengsan di rumah sewanya.

Ia disahkan oleh anak sulungnya, Muhammad Zafifi, 28, ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Muhammad Zafifi yang tinggal di Kampung Batu Balai di sini, berkata, dia menerima khabar duka itu menerusi kiriman WhatsApp oleh sepupu bapanya, Saloha Adlan, 27, yang juga berada di Korea Selatan.

Menurutnya, dia sekeluarga diberitahu bapanya yang berusia 50 tahun itu pengsan pada 8 malam waktu Korea Selatan sebelum dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

"Menurut maklumat yang diterima, ayah tiba-tiba pengsan dan mujurlah rakan serumahnya ada serta membantu dengan hubungi ambulans.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati pembuluh darah ayah pecah dan doktor sahkan ada darah beku dalam kepalanya.

"Keputusan ujian saringan pagi tadi juga menunjukkan ayah positif Covid-19, lumpuh seluruh badan dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Muhammad Zafifi berkata, bapanya menetap di negara itu sejak Oktober 2019 dan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang tisu.

"Sejak berhijrah ke Korea Selatan, ayah melakukan pelbagai pekerjaan termasuklah menjadi pengutip buah sebelum bekerja di kilang itu.

"Ayah bercadang pulang ke sini pada Disember lalu tetapi menangguhkannya ke Mac ini sebelum dianjak ke Julai kerana mahu balik bersama sepupunya.

"Apabila jadi begini, kami sekeluarga jadi risau malah emak (Wan Hayati Wan Yaakob) paling sedih dan kalau boleh mahu segera membawanya (ayah) pulang ke sini.

"Cuma, kami sendiri tiada dana untuk ke Korea Selatan dan buat masa ini hanya menunggu perkembangan lanjut daripada sepupu ayah di sana," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Sementara itu, Saloha berkata, dia bergegas ke hospital selepas dapat tahu mengenai keadaan Kamarulzaman dan tiba pada 8.30 malam.

Bagaimanapun , Saloha berkata, dia belum dibenarkan melawat Kamarulzaman dan hanya dapat bercakap dengan doktor yang merawat serta melihat sepupunya itu menerusi panggilan video.

"Saya tinggal di Pyeongtaek, manakala Kamarulzaman di Muguek dan jarak rumah kami mengambil masa selama satu jam 45 minit perjalanan.

"Selepas menerima panggilan daripada rakan serumahnya, saya terus ke hospital selain maklumkan terus kepada keluarganya di Malaysia menerusi kiriman mesej di kumpulan WhatsApp.

"Menurut doktor, dia masih koma dan bernafas melalui saluran tiub. Doktor belum dapat jalankan pembedahan kerana enggan mengambil risiko yang boleh meragut nyawanya.

"Bil rawatan hospitalnya untuk semalam saja (sehingga semalam) mencecah RM11,000 dan ada kemungkinan kos itu meningkat jika dia tempoh rawatannya berterusan," katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2022 @ 2:20pm
d