utama

Bekas pemain gitar kumpulan rock, adik ditahan ketika 'lalok'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Bekas pemain gitar kumpulan rock popular ditahan bersama adiknya ketika sedang 'lalok' di sebuah studio rakaman di sini, semalam.

Kedua-dua individu berusia 46 dan 26 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Petaling bermula jam 9 malam.

Ketua AADK Daerah Petaling Mazlinna Kassim berkata, ketika ditahan pihaknya turut menemui beberapa bungkusan ketulan mampat daun kering yang disyaki dadah jenis ganja.

"Dadah seberat 343 gram itu dipercayai untuk diedarkan kepada penagih dadah di sekitar daerah ini.

"Kedua-dua suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, dalam operasi sama, Mazlinna berkata, pihaknya turut menahan tiga lelaki yang terbabit dalam penagihan dadah di sekitar Shah Alam.

"Ujian saringan yang dijalankan ke atas dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan seorang positif dadah jenis opiat.

"Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2022 @ 4:23pm
d