utama

Laksana rancangan tertunda

Oleh Syafil Syazwan Jefri

TAHUN 2022 menyaksikan industri hiburan tanah air kembali hangat dan meriah dengan pelbagai karya dari muzik hinggalah kepada drama dan filem.

Bagi penyanyi, pelakon dan pengacara, Daiyan Trisha, dia juga sama seperti selebriti lain yang ingin melangkah lebih jauh dalam memacu karier seninya.

Bertemu dengan Daiyan baru-baru ini, dia berkongsi beberapa perancangan yang sebelum ini tertunda, bakal direalisasikan dan dicatat dalam senarai rencana kariernya.

"Sebelum ini, saya ada perancangan untuk membawa karier seni saya terutama sebagai pemuzik ke luar negara.

"Namun, impak pandemik Covid-19 yang melanda dunia mengubah banyak perkara," katanya membuka sesi temu bual.

Menurutnya, ketika seluruh dunia sedang bergelut dengan situasi pandemik, dia sebagai pemuzik juga turut dihentam dengan impak daripada sudut karier.

"Apabila Covid-19 muncul, saya terpaksa membatalkan niat untuk ke luar negara dan mengembangkan muzik saya.

"Namun, saya melihat semula apa yang berlaku daripada sudut positif iaitu apabila saya tak dapat ke luar negara, rezeki saya di tanah air juga semakin banyak. Saya tahu dan sedar bahawa rezeki itu ada di mana-mana dan setakat ini, semuanya berjalan lancar," katanya.

Bercerita mengenai perancangannya dalam arena muzik, Daiyan berkata, dia bakal melancarkan single baharu tahun ini.

"Tahun lalu, saya sudah keluarkan lagu Penat. Insya-Allah, selepas Aidilfitri saya akan keluarkan satu lagi single baharu yang juga menjadi kesinambungan kepada lagu Penat.

"Selain itu, ada juga beberapa rancangan untuk memulakan perniagaan memandangkan itu juga menjadi satu daripada beberapa impian dan minat saya.

"Namun, saya tak boleh nak kongsikan terlalu banyak memandangkan, belum ada sebarang rancangan yang konkrit buat masa sekarang," katanya.

Berkongsi mengenai muzik, penyanyi dan pencipta lagu ini sentiasa berasakan dia lebih selesa menyampaikan lagu yang dihasilkan sendiri.

"Saya pernah terima beberapa karya lagu daripada komposer lain, tetapi ia tidak diteruskan sehingga ke peringkat rakaman dan diterbitkan. Apa yang boleh dikatakan, cara saya adalah lebih selesa menyanyikan lagu yang dicipta sendiri," katanya.

Terbaharu, Daiyan kini bakal memulakan penggambaran untuk telefilem terbaharu berjudul Rompak yang akan menampilkan sisi berbeza Daiyan.

"Saya terima tawaran untuk berlakon dalam telefilem ini tahun lalu. Apa yang menarik perhatian saya adalah apabila berpeluang bergandingan dengan Zizan Razak kerana tak pernah bekerja dengannya.

"Lebih menarik, ini akan menjadi watak pertama lakonan saya sebagai gadis bertudung dan ada cabarannya yang tersendiri," katanya.

Berkongsi lebih lanjut mengenai watak Nadia yang dipegangnya itu, Daiyan juga mengakui teruja untuk memulakan penggambaran pada 26 Februari ini.

"Daripada skrip yang saya baca, saya dapat ringkaskan bahawa watak Nadia bukanlah watak wanita bertudung yang biasa kerana ada kelainan yang ditampilkan.

"Daripada sudut cabaran, saya rasa ia lebih kepada penataan gaya kerana saya perlu biasakan untuk berlakon dengan memakai tudung.

"Dalam kata lain, bagi menjayakan watak itu, saya tak boleh kelihatan seperti orang yang baru nak mula pakai tudung," katanya.

Akan membawa beberapa sentuhan seperti siri Money Heist dan dan Fast & Furious, tentunya telefilem itu akan mencuri perhatian penonton.

Selain Daiyan dan Zizan, telefilem itu juga turut dibintangi Siti Khadijah dan MK K-Clique.

Disiarkan pada: January 30, 2022 @ 6:31am
d