utama

Kuasa tular jadi senjata utama

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Platform media sosial umpama menjadi 'senjata utama' sesiapa saja pada hari ini.

Sama ada untuk membantu, mendedahkan sesuatu sehinggalah kepada memalukan pihak lain apabila kuasa tular itu disalah guna segelintir pengguna.

Ia sekali gus mencetuskan persoalan berhubung tahap kebitaraan pengguna siber di negara ini terutamanya apabila menyentuh isu tular.

Mendapatkan gambar jelas berhubung isu berkenaan, wartawan Kafe Ahad MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) SIRAJ JALIL.

Sebahagian besar pengguna media sosial media di Malaysia mudah mempercayai apa juga bentuk maklumat. Komen?

Malaysia antara negara tertinggi yang aktif menggunakan media sosial dengan peratusan hampir 90 peratus nisbah penduduk negara berdasarkan statistik Internet User Surver 2020yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Kadar ini saban tahun terus meningkat dan ia turut didorong faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 selama hampir dua tahun.

Faktor ini memberikan kuasa perkongsian maklumat yang tinggi di platform media sosial termasuk Facebook (FB), Twitter, Instagram, TikTok dan lain-lain yang juga platform popular di dalam negara ini.

Perkongsian maklumat di media sosial di luar kawalan pihak kerajaan kerana apa yang ingin dilontarkan oleh pengguna hanya bersandarkan kepada pengguna itu sendiri selain didorong oleh trend untuk membuat kandungan atau content.

Setiap kandungan ini dihasilkan untuk menjana pendapatan dan populariti mengakibatkan pengguna sanggup mengolah apa saja maklumat bagi tujuan menarik lebih ramai penonton.

Trend ini menjadi tabiat dalam kalangan rakyat Malaysia yang sudah pasti mengakibatkan psikologi separa sedar terkesan membuatkan sesuatu maklumat palsu dan benar semakin sukar ditapis oleh masyarakat.

Contoh atau tabiat khusus, boleh kongsikan.

Perkara ini mudah untuk dilihat oleh kita menerusi suapan terbaru atau news feed di laman FB kita sendiri.

Contoh, hantaran berita berkaitan suatu pergaduhan, pasti akan ada komen yang menjatuhkan hukum dan memberikan pandangan yang pelbagai daripada video atau perkongsian berkenaan, sedangkan hakikatnya mungkin berbeza.

Pengguna media sosial atau popular dengan terma 'netizen' ini dilihat sudah menjadi sebati dan diturunkan kepada generasi seterusnya kerana penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat sudah pun melepasi tempoh 10 tahun atau satu dekad.

Tahap kepercayaan netizen terhadap maklumat di media sosial juga kini bukan hanya bergantung kepada ketularan (virality) sahaja, bahkan ada berita yang tidak tular pun boleh menjadi sumber rujukan kepada sesetengah kelompok bagi tujuan hujahan di kedai kopi.

Dalam beberapa kes sebelum ini, kuasa tular memberi kesan negatif iaitu suatu hebahan bersifat tidak benar. Bagaimana tuan melihat perkara ini dan apakah yang perlu dilakukan?

Kuasa tular ada baik dan ada buruknya. Baik daripada sudut menyampaikan maklumat yang benar dan penting untuk sesuatu berita sampai kepada perhatian masyarakat.

Contoh, tular kisah anggota polis membersihkan longkang yang tersumbat akibat banjir kilat di jalan raya. Ia memberi kesan tauladan yang baik kepada masyarakat dan pasukan polis itu sendiri.

Selain itu, tular 'Abang Viva' memberikan bantuan kepada mangsa banjir sehingga membuatkan masyarakat terharu.

Keburukan kuasa tular sudah pasti apabila berita palsu tersebar tanpa sebarang pengesahan oleh mana-mana pihak sehingga maklumat berkenaan menjadi hukuman dalam kalangan netizen dan cakap-cakap di pelbagai platform.

Adegan buruk seperti pergaduhan antara dua pihak, sikap hina menghina antara satu sama lain, konflik dalaman keluarga yang dizahirkan di media sosial selain kecaman bersifat rasis adalah sisi gelap kuasa tular ini.

Secara asasnya, kita tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengawal, cuma pengguna media sosial perlu lebih bitara dan celik dengan sesuatu maklumat.

Jika dilihat, kuasa tular ini terletak di tangan netizen itu sendiri yang perlu menentukan baik buruknya tindakan berkongsi maklumat yang baik mahupun buruk.

Sekiranya seseorang netizen itu sedar dan ada ilmu menilai sesuatu berita, sudah pasti kesan yang lebih baik dapat dilihat di dalam persekitaran media siber negara.

Jika diberikan skala 1 iaitu lemah dan 5 baik, Malaysia berada di tahap ke berapa untuk kesiapsiagaan serangan siber?

Secara peribadi, saya melihat tahap kesiapsiagaan serangan siber negara kita berada pada skala tiga (3).

Aspek keselamatan siber ini bukan hanya di peringkat kerajaan, ia termasuk pihak swasta dan paling utama pengguna itu sendiri.

Pengguna yang tidak peka dengan keselamatan siber, mampu membuatkan sebuah organisasi menerima kesan buruk serangan siber.

Contoh, seorang pekerja mengakses internet menggunakan komputer syarikat dan terjerat dengan laman phishing yang mencuri maklumat akses kepada sistem ICT syarikat, ia sekali gus mengakibatkan kerugian kepada syarikat berkenaan.

Pada pendapat saya juga, aspek integriti siber juga perlu diterapkan.

Cadangan tuan kepada kerajaan dan agensi bertanggungjawab.

Saya berharap kerajaan segera mewujudkan silibus wajib kepenggunaan siber kepada pelbagai peringkat pendidikan khususnya di sekolah rendah dan menengah agar asas ini dapat dijadikan sandaran mendidik masyarakat tentang pentingnya menjadi seorang pengguna yang bijak di alam siber.

Ia bukan hanya sekadar faham tentang keselamatan, bahkan mampu menjadi pengguna yang beretika tinggi.

Selain itu, saya juga berharap kerajaan dapat mengambil serius untuk menggubal Akta Keselamatan Siber dan menubuhkan suruhanjaya khusus berkenaan keselamatan siber negara supaya segenap aspek keselamatan dan kepenggunaan siber negara dapat dikoordinasikan dengan lebih sempurna.

Pada masa sama, suruhanjaya ini dapat menjadi badan penguatkuasaan yang lebih strategik dalam mengekang aktiviti jenayah siber.

Disiarkan pada: January 30, 2022 @ 8:01am
d