utama

'Menantu saya masih menunggu teh ais dan apam balik yang dipesan' [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: "Menantu saya masih dalam keadaan trauma malah masih menunggu teh ais dan apam balik yang dipesan kepada suaminya," kata Zaiton Yusof, ibu kepada Allahyarham Muhammad Mustaqim Mustafa, 25, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kampung Surau Panjang, di sini, semalam.

Zaiton, 57, berkata, menantunya, Sharifah Erin Nurshafieka Saiyed Azman, 20, sedar suaminya sudah meninggal dunia selepas kira-kira 37 jam mereka bergelar suami isteri namun masih belum dapat menerima hakikat kehilangan orang tersayang.

Menurutnya, Allahyarham Muhammad Mustaqim yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik berkahwin Sharifah Erin Nurshafieka di sebuah masjid di Kampung Beladau Kepong, kira-kira jam 12 tengah hari Khamis lalu.

"Isterinya Sharifah Erin memesan teh ais dan apam balik sebelum arwah keluar menghantar ikan air tawar diusahakan ayahnya, Mustafa Ahmad, 50, di sebuah restoran di Kampung Surau Panjang, jam 12 tengah hari semalam.

"Sharifah Erin atau lebih mesra dengan panggilan Erin sudah tahu suaminya meninggal dunia semalam, tetapi masih menunggu arwah pulang membawa pesanan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Beladau Kepong, hari ini.

Muhammad Mustaqim meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar ikan air tawar di sebuah restoran di Kampung Surau Panjang, di sini, jam 1.10 tengah hari semalam.

Mangsa cedera parah di kepala selepas motosikal dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Zaiton berkata, Erin sempat menatap kali terakhir wajah suaminya sebelum urusan pengebumian dilakukan petang semalam.

"Dia juga bersama kami dan adik beradik arwah menyiapkan juadah untuk majlis tahlil yang diadakan di masjid malam tadi.

"Selepas selesai majlis tahlil, saya lihat Erin berada dalam keadaan gelisah dan masih setia menunggu suami yang baru dinikahinya pulang membawa minuman teh ais dan apam balik sehingga lewat malam," katanya.

Zaiton berkata, pada malam hari kejadian, Muhammad Mustaqim beberapa kali bertanya bapanya nak memesan makanan apa kerana hendak keluar ke kedai makan.

"Dia juga kerap menanyakan saya nak kirim makanan apa sebelum bersalam dan mencium tangan saya," katanya.

Zaiton berkata, Erin sudah pulang ke pangkuan ahli keluarga pagi ini, tetapi beberapa kali memesan supaya terus menghubungi apabila Muhammad Mustaqim pulang daripada menghantar ikan air tawar.

"Sebelum pulang ke rumah ahli keluarganya pagi ini, Erin beberapa kali berpesan supaya meminta Muhammad Mustaqim mengambilnya," katanya.

Zaiton berkata, arwah anaknya juga tidak sempat menyiapkan rumahnya sendiri walaupun barangan pembinaan sudah dibeli.

"Arwah bercadang untuk berpindah ke rumah sendiri selepas selesai majlis sambutan menantu bulan depan," katanya.

Disiarkan pada: February 6, 2022 @ 4:02pm
d