utama

'Syurga saya ada pada dia' [METROTV]

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

Alor Gajah: "Syurga saya ada pada dia, jangan rasa menyesal. Jika mahu berkahwin dengan OKU (Orang Kurang Upaya). Pastikan jiwa dan mental harus kuat," kata Zunaidah Alwi, 43, menetap di Kampung Pengkalan di sini.

Zunaidah membuktikan cinta dan simpati mengatasi segalanya apabila sanggup menikahi kenalan lama, Adam Md Sohor, 42, yang lumpuh pada tahun 2014 selepas kematian suami pada 2009.

Sejak lapan tahun lalu, dia menjadi tulang belakang keluarganya apabila perlu mencari rezeki dengan bekerja sebagai sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM), selain menjaga suami yang terlantar sakit serta enam anak termasuk seorang OKU autisme.

"Ketika kami berkahwin pada 31 November 2014 suami lumpuh dari paras pinggang ke bawah kaki akibat kemalangan jalan raya pada 2006.

"Kekurangan pada dirinya tidak menghalang saya untuk menerima suami seadanya, begitu juga keikhlasan suami menerima saya.

"Keluarga saya tidak membantah apabila kami memutuskan untuk berkahwin, manakala ibu dan bapa mentua sudah tiada dan suami dijaga oleh emak saudaranya," katanya ditemui di rumahnya tadi.

Anggota APM berpangkat koperal itu berkata, ada saudara dan rakan tidak bersetuju keputusannya yang diibarat 'tiada beban, batu digalas' dan meminta dia berfikir panjang dalam membuat keputusan.

Mengimbau detik pertemuan dengan suami, Zunaidah berkata, mereka pernah berkawan namun terpisah selepas dia berkahwin.

"Kami bertemu semula ketika saya yang bertugas di APM Alor Gajah pergi mengambil kes orang sakit.

"Sebaik melihat pesakit itu terlintas di hati saya kami pernah bertemu. Selesai menghantarnya ke Hospital Alor Gajah, saya terus mencari nombor telefon bimbitnya di pejabat.

"Pada mulanya saya simpati dengan keadaannya terlantar sakit, sebelum timbul rasa cinta," katanya yang memiliki anak berusia 13 hingga 21 tahun.

Zunaidah berkata, selepas berkawan kira-kira empat bulan, dia mengajak suaminya berkahwin bagi memudahkan dia menjaganya biarpun doktor memaklumkan suami tiada harapan untuk sembuh.

"Sebelum ini suami pernah dirawat di Hospital Melaka, namun kini rawatan itu terhenti kerana saya tidak mempunyai kenderaan untuk menghantarnya ke sana.

"Jika boleh saya minta dia dapat dirawat di Hospital Alor Gajah kerana boleh menggunakan khidmat ambulans APM.

"Cukup mudah untuk jaga suami kerana dia tidak cerewet. Jika bekerja, saya akan hidangkan makanan dan minuman lebih awal. Untuk mandi, saya hanya bantu mengangkatnya ke kerusi roda," katanya.

Menurut Zunaidah dia nekad mencari reda Allah SWT dengan berbakti kepada suami walaupun hidup cukup sederhana.

Katanya, pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka, Jawatankuasa Pembangunan & Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut menghulurkan bantuan kepada keluarganya sehingga kini dalam bentuk barangan makanan, lampin pakai buang dan wang tunai.

Sementara itu, Adam berkata, dia tidak terkejut dan yakin untuk berkahwin selepas melihat kesungguhan dan keikhlasan isterinya dalam menerima keadaan dirinya.

Disiarkan pada: February 11, 2022 @ 3:21pm
d