utama

Jiran mengadu anak autistik bising, keluarga Iman terpaksa berpindah

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Keluarga Iman Wan Tuck Meng yang dikenali menerusi Adam's Autism Family akan berpindah keluar dari taman perumahannya hujung bulan ini.

Iman yang anaknya Adam Wan Mun Yu, 20, menghidap autisme berkata, tuan rumah tidak memperbaharui sewa rumah mereka.

Beliau mendakwa, ada jiran yang kurang senang dengan kehadiran mereka sekeluarga di taman perumahan itu kerana mendakwa Adam kerap membuat bising.

"Kami tahu apa anda lakukan (membuat aduan) dan kamu orang yang bagaimana.

"Tetapi jangan risau, hasrat anda akan menjadi kenyataan. Anda berjaya membuatkan tuan rumah untuk tidak memperbaharui sewa rumah kami," luah Iman di Facebook, hari ini.

Adam juga menyifatkan remaja berkenaan bukanlah jenis yang membuat bising setiap hari.

"Mohon maaf untuk semua ketidakselesaan yang ditimbulkan.

"Semoga anda mendapat ketenangan dan kehidupan yang baik selepas ini," katanya.

Adam disahkan menghidap 'spektrum autisme' (ASD) dan gangguan kurang daya tumpuan serta hiperaktif (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) sejak berusia dua tahun enam bulan.

Sejak itu, Iman membesarkan anaknya itu bagai menatang minyak yang penuh.

Hidup mereka sekeluarga juga berubah apabila Adam menjadikan rutin hidup sebagai paparan serta catatan di media sosial bagi rujukan dan perkongsian bermanfaat buat ibu bapa yang mempunyai anak istimewa.

Disiarkan pada: February 12, 2022 @ 9:48pm
d