utama

Terkhilaf ikut trend 'Sebelum dan Selepas'

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: "Kami sudah padam kandungan TikTok itu dan harap ia tidak disebarkan lagi bagi mengelak fitnah," kata seorang daripada tiga beradik yang video mereka bersama jenazah bapa berdasarkan trend TikTok 'Sebelum dan Selepas' tular di media sosial.

Dia yang hanya mahu dikenali Bella, 33, mengakui mereka terkhilaf apabila memuat naik video itu selepas dipengaruhi emosi hingga gagal berfikir mana yang baik dan buruk dalam kandungan media sosial.

Jelasnya, tujuan video itu sebenarnya sekadar untuk berkongsi 'nasihat' supaya orang lain menghargai ibu bapa selagi mereka masih bernyawa, dan sama sekali tidak berniat mencari publisiti yang boleh menimbulkan perdebatan warganet.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, rakaman video itu juga mempunyai kisahnya tersendiri.

"Kebetulan masa kami mandikan jenazah arwah bapa, kami tiga beradik duduk dalam susunan sama seperti video sebelum ini yang diambil ketika kali terakhir berjumpa arwah.

"Ia seolah-olah 'flashback' kembali 'moment' arwah bapa menyelit ketika kami tiga beradik sedang merakam kandungan video TikTok pada Oktober lalu dan itulah pertama kali arwah mahu turut serta," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Kongsinya, arwah bapanya meninggal dunia, 11 Februari lalu pada usia 58 tahun kerana kanser limfoma yang dihidapinya sejak 2017.

"Hanya saya sahaja yang jauh daripada keluarga kerana bekerja di Kuala Lumpur, manakala adik-beradik lain di Johor Bahru. Kerana itu saya begitu tersentuh (sayu) dengan rakaman video terbabit dan ingin kongsikannya di media sosial," katanya yang kini sedang menjalani kuarantin kendiri selepas disahkan positif Covid-19, semalam.

Mengulas komen warganet yang rata-ratanya mengecam perkongsian itu, Bella berkata, dia menerima semua teguran berkenaan dengan hati yang terbuka.

"Apabila sudah diviralkan, saya sebenarnya tak sanggup nak baca komen sebab ada warganet yang pertikai didikan arwah terhadap anak-anaknya sehingga tidak reti jaga sensitiviti.

"Bagi saya orang yang komen itu tidak faham perasaan yang saya lalui, biarlah kami adik beradik dipersalahkan tetapi janganlah kaitkan dengan arwah bapa kami kerana beliau sangat baik orangnya," katanya.

Adik bongsu Bella yang dikenali Sofea, 22, pula memberitahu rakaman video itu untuk simpanan mereka sebagai kenangan.

"Kami pegang telefon ketika proses mandikan jenazah itu juga sebab ramai (ahli keluarga dan kenalan) yang 'request' (minta) untuk buat panggilan video, ditambah kes Covid-19 yang mana ramai orang tidak dapat berziarah," katanya yang memberitahu bapa mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan di Johor selama 33 hari.

Video viral dikongsi itu menunjukkan rakaman 'Sebelum' pada Oktober 2021 dengan tiga beradik duduk sambil menari, dan lelaki dipercayai bapa mereka berdiri di belakang, manakala rakaman 'Selepas' bertarikh Februari lalu dengan tiga beradik itu pada kedudukan sama berada di sebelah jenazah bapa mereka.

Dalam pada itu, Pendakwah yang juga Timbalan Dekan (Jaringan & Alumni) Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, mengambil gambar mahupun merakam video jenazah dan memuatnaiknya di media sosial adalah perkara yang tidak seharusnya dilakukan umat Islam.

Ini kerana katanya, tindakan itu dikhuatiri membuka aib si mati dan mengundang fitnah dalam kalangan masyarakat, selain umat Islam wajib menjaga tertib ketika menghadiri majlis pengebumian.

"Saya nasihatkan kepada semua umat Islam yang menghadiri majlis pengebumian jenazah di rumah, tanah perkuburan mahupun rumah mayat, janganlah ia dijadikan kandungan media sosial.

"Perbuatan inilah yang sebenarnya akan merosakkan sistem syariat Islam yang diajar Nabi Muhammad SAW.

"Namun, kita dibenarkan menceritakan perkara mulia mengenai si mati, misalnya amalan si mati yang baik-baik seperti tidak tinggal solat, suka membaca al-Quran, rajin ke masjid dan lain-lain agar boleh menjadi ikutan orang lain," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau juga meminta orang ramai tidak menularkan video berkaitan tanpa mendapat keizinan keluarga si mati kerana boleh menjatuhkan maruah mereka.

Katanya, adalah lebih indah sekiranya semua pihak kembali berpegang kepada nasihat ulama dan ahli agama serta meninggalkan perbuatan yang tidak memberi apa-apa impak positif kepada diri mahupun masyarakat keseluruhannya.

Disiarkan pada: February 15, 2022 @ 5:20pm
d