utama

Sophia kian menyerlah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PERLAHAN-LAHAN Sophia Albarakbah membina nama dalam bidang lakonan yang diceburinya sejak tiga tahun lalu.

Menyerlah sebagai Rissa menerusi drama Tercipta Satu Ikatan di Astro Ria dan Bella dalam Hadiah Dari Tuhan di TV3, dia terus ditawarkan watak yang mencabar.

Lakonan Sophia, 27, kini dapat disaksikan dalam drama 28 episod, Suamiku Lelaki Pendosa menerusi slot Samarinda TV3 yang ditayangkan sejak 9 Februari lalu.

Menyifatkan dirinya masih baharu, Sophia bersyukur ditawarkan menjadi heroin buat kali pertama dalam kariernya.

"Sudah tentu saya berasa amat gembira dan teruja berlakon dengan semua pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Aleza Shadan, Fauzi Nawawi, Shima Anuar, Gambit Saifullah, Anne Abdullah dan ramai lagi.

"Alhamdulillah, pelakon baharu macam saya tiba-tiba dapat watak utama. Namun pada masa sama, rasa gementar juga diberi tugas berat ini.

"Watak sebagai Cahaya Malaika sangat mencabar tapi seronok kerana saya dapat bekerja dengan pengarah Eyra Rahman yang banyak membantu. Saya banyak belajar daripada dia," katanya.

Sophia mengakui dia memang bercita-cita untuk berlakon dengan pelakon popular, namun tidak menyangka akhirnya menjadi kenyataan.

"Macam tak percaya pun ada kerana dulu-dulu saya kerap tengok Aaron di televisyen. Apabila mengenalinya, dia sangat peramah, 'friendly' dan banyak bantu kongsi pengalaman.

"Aaron juga tak kedekut ilmu. Lakonan sebagai suami bernama Dean Ilyas sangat hebat dan saya banyak belajar daripadanya untuk memperbaiki mana yang kurang dalam lakonan.

"Babak lakonan kami dibuat secara profesional dan terkawal tanpa sebarang masalah. Amat seronok kerana saya dapat banyak pengalaman baharu," katanya.

Suamiku Lelaki Pendosa diadaptasi dari novel Imamku Lelaki Pendosa karya Umie Nadzimah, manakala skrip untuk drama ditulis Eenaz Mokhtar, Siti Jasmina dan Ctna Marzuki.

Sophia berkata, penggambaran dibuat sejak Februari tahun lalu dan tamat pada Oktober kerana tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini antara cabaran yang kami lalui. Penggambaran turut dibuat dalam bulan puasa. Banyak babak saya kena menangis dan ia sangat mencabar. Pernah satu ketika, saya demam tapi tetap gagahkan juga berpuasa. Penggambaran pula dibuat di luar dalam keadaan cuaca panas.

"Kamera sedang fokus muka saya dan tiba-tiba saya pengsan. Nasib baik Aaron ada di depan dan sempat sambut saya. Kalau tidak muka saya pasti tersembam ke lantai," katanya.

Dia bagaimanapun tidak menjadikan alasan apabila kembali menyambung penggambaran selepas berehat seketika.

"Saya akui watak ini agak berat kerana mengisahkan kekuatan seorang isteri yang kena taat pada suaminya. Dalam masa sama, dia kena jaga aib suaminya.

"Harapnya semua orang tengok dan 'enjoy' dengan drama ini. Ia lain dan tak pernah lagi ada drama begini. Harap semua terima tanpa diskriminasi. Sebagai pelakon kami hanya melakonkan watak berdasarkan novel.

Tengok dan nilaikanlah saya," katanya.

Sophia berkata, dia sukakan cabaran baharu menerusi watak yang berbeza.

"Saya harap pengarah bagi apa sahaja watak dan lagi seronok buat watak yang tak pernah dibawa sebelum ini," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 6:00am
d