utama

Cetek akal atau sengaja diperguna?

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Adakah cetek akal atau sengaja merelakan diri dipergunakan sindiket penipuan untuk tujuan jenayah terancang?

Persoalan itu timbul apabila puluhan ribu rakyat negara ini dikesan dieksplotasi oleh pelbagai sindiket penipuan bagi 'melancarkan' aktiviti memindahkan wang haram atau wang hasil penipuan membabitkan jumlah jutaan ringgit.

Ini terbukti apabila rekod polis menunjukkan lebih 65,000 individu warga tempatan sanggup dijadikan 'keldai akaun' sejak tiga tahun lalu dan angkanya terus meningkat.

Setakat ini Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengenal pasti sebanyak 109,289 akaun bank terbabit sebagai 'akaun penjenayah' bagi tempoh 2019 hingga 31 Oktober tahun lalu.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi JSJK Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Willie Richard berkata, jumlah akaun bank yang dikaitkan dengan 'keldai akaun' turut menunjukkan trend meningkat sepanjang tempoh berkenaan.

"Pada 2019, 28,990 akaun bank dilaporkan membabitkan 'keldai akaun' dan jumlah itu meningkat kepada 37,296 pada 2020. Malah, jumlah itu terus meningkat apabila merekodkan sebanyak 43,003 akaun bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun lalu.

"Kami percaya peningkatan jumlah itu didorong kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19 yang menjejaskan ramai individu. Ramai hilang pekerjaan menyebabkan mereka terdesak untuk mendapatkan pendapatan," katanya.

Willie berkata, jumlah individu yang dikesan dieksploitasi menjadi 'keldai akaun' juga menunjukkan trend meningkat sepanjang tempoh berkenaan.

"Pada 2019, 18,417 individu dikesan dijadikan 'keldai akaun' dan jumlah itu meningkat kepada 21,523 individu pada 2020. Malah, jumlah itu terus meningkat apabila merekodkan seramai 24,379 individu dikesan sebagai keldai akaun bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun lalu.

"Sebanyak 26,269 tangkapan direkodkan membabitkan 9,725 tangkapan pada 2019, 10,451 tangkapan pada 2020 dan 6,093 tangkapan pada 1 Januari hingga 31 Oktober tahun lalu.

"Sebanyak 36,803 pertuduhan mengikut kertas siasatan 'keldai akaun' membabitkan 13,550 pertuduhan pada 2019, 15,428 pertuduhan pada 2020 dan 7,825 pertuduhan bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober tahun lalu," katanya.

Menurutnya, ada beberapa jenis 'keldai akaun' yang dikesan polis termasuk individu tidak tahu akaun mereka digunakan dan hanya menyedarinya selepas akaun bank disekat.

"Ada keldai akaun yang terjerat ketika mencari pekerjaan yang meletakkan syarat supaya mangsa menyerahkan akaun kepada majikan untuk proses kutipan wang pelanggan.

"Ada juga peniaga dalam talian yang tidak menyedari kemasukan wang ke dalam akaun bank adalah wang hasil penipuan selain individu yang menyerahkan kad ATM kepada saudara terdekat serta rakan rapat untuk penghantaran wang.

"Pada masa sama, ada juga 'keldai akaun' dalam kalangan penagih dadah yang menjual akaun bank untuk mendapatkan wang," katanya.

Menurutnya, polis turut mengesan individu yang mahu mendapatkan upah dengan menyewa akaun bank mereka melalui tawaran iklan di media sosial

"Kebanyakan 'keldai akaun' ini majoritinya adalah individu yang mencari pekerjaan atau individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 12:00pm
d