utama

Teksi udara AirAsia bakal terbang pada 2025

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Capital A Berhad melalui cabang perniagaan penerbangannya, AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) bakal menyediakan perkhidmatan 'teksi udara' menjelang 2025 dengan tumpuan diberikan kepada perjalanan yang sukar dijangkau dengan kenderaan darat.

Ia juga dijangka membuka peluang baru bagi sektor pelancongan khususnya untuk destinasi yang sebelum ini hanya dapat dikunjungi dengan kenderaan tertentu.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, perkhidmatan ini akan membuka lembaran baru bagi perjalanan jarak pendek.

"Sebagai contoh, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar Kuala Lumpur mengambil masa sehingga 90 minit sekiranya trafik sesak namun, menggunakan perkhidmatan ini, ia hanya mengambil masa 15 minit dengan kos sekitar AS$50 bagi penerbangan untuk empat penumpang.

"Malah, ia juga membuka peluang baru bagi sektor pelancongan seperti ke Genting Highlands atau Pulau Pangkor yang sebelum ini hanya dapat dikunjungi dengan kenderaan dan laluan tertentu saja," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara AirAsia dengan Avolon di Singapura, hari ini.

Melalui perjanjian tanpa ikatan itu, AirAsia akan memajak sekurang-kurangnya 100 pesawat 'electric vertical take-off and landing' (eVTOL) VX4 daripada Avolon.

Pesawat eVTOL ini akan membolehkan AirAsia merevolusikan perjalanan udara dengan menyediakan mobiliti udara lebih maju kepada penumpang baharu, seterusnya mengubah cara untuk mereka berhubung dengan lebih cekap.

Sebagai tambahan kepada pesawat eVTOL, Avolon, melalui syarikat sekutu pelaburan dan inovasinya Avolon-e, akan bekerjasama dengan AirAsia untuk mengkomersialkan pesawat eVTOL dengan pelepasan sifar dan membangunkan platform mobiliti udara dalam bandar (UAM) yang terkemuka dalam industri di Asia Tenggara.

Avolon dan AirAsia juga akan membentuk kakitangan untuk memohon pensijilan tempatan, menyelidik peluang pasaran yang berpotensi dan keperluan infrastruktur untuk UAM.

AirAsia juga akan memanfaatkan aplikasi mudah alih perjalanan dan gaya hidupnya, airasia Super App, untuk membantu menyokong dan membina platform perkongsian perjalanan eVTOL dengan Avolon.

Tony berkata, pesawat jenis VX4 itu menetapkan tahap keselamatan tinggi dengan semua juruterbang perlu menjalani latihan sebagaimana juruterbang pesawat komersial.

Bagaimanapun, Tony berkata, kemunculan perkhidmatan itu tidak akan mengganggu perniagaan teksi kerana ia menawarkan laluan berbeza.

"Tumpuan utama perkhidmatan ini adalah untuk sektor pelancongan dan laluan yang belum diteroka AirAsia.

"Selain itu, ia juga boleh digunakan bagi perkhidmatan lain seperti penghantaran barangan dan sektor kesihatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Avolon, Dómhnal Slattery berkata, pesawat itu boleh beroperasi antara 10 hingga 12 jam sehari dengan jarak penerbangan melebihi 160 kilometer sehala.

"Ia juga akan dikemudi pada ketinggian 2,000 kaki iaitu zon selamat untuk pesawat serta tidak mengganggu laluan pesawat komersial bersaiz lebih besar.

"Malah, ia boleh dikatakan 100 kali lebih selamat berbanding helikopter dan mengambil masa hanya 60 saat untuk naik ke udara dari darat," katanya.

Disiarkan pada: February 16, 2022 @ 6:23pm
d