utama

Ajal tersangkut buaian

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Kanak-kanak perempuan ditemui meninggal dunia selepas dipercayai lehernya tersangkut pada kain buaian di pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam kejadian itu, kanak-kanak berusia 15 bulan terbabit sebelum itu ditidurkan di dalam buaian berkenaan oleh pengasuh di dalam bilik.

"Hasil siasatan awal mendapati, kanak-kanak itu diberikan susu sebelum ditidurkan kira-kira 12.30 tengah hari. Pengasuh berkenaan keluar dari bilik itu jam 2 petang untuk melakukan tugas lain.

"Pengasuh masuk semula ke bilik sejam kemudian dan mendapati kanak-kanak itu dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pengasuh terus mengambil kanak-kanak itu daripada buaian dan melakukan bantuan kecemasan pernafasan (CPR) tetapi mangsa gagal bernafas semula dan pengasuh terus membawa kanak-kanak itu ke Klinik Kesihatan Sendayan.

"Kanak-kanak itu sempat dirawat doktor, namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang oleh doktor bertugas," katanya.

Nanda berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, untuk bedah siasat bagi siasatan lanjut," katanya.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: February 23, 2022 @ 12:16pm
d