utama

'Doktor' 18 isteri

Oleh AFP

New Delhi: Bukan seorang, tetapi sekurang-kurangnya 18 isteri dikahwini seorang 'doktor' di India.

Lelaki berusia 67 tahun itu menyamar sebagai seorang doktor berusia 51 tahun dengan menyasarkan wanita bujang, balu dan janda.

Suspek akan mencari 'isterinya' menerusi platform media sosial dengan memperkenalkan diri sebagai doktor.

Bibhu Prakash Swain yang melakukan kesalahan di seluruh India itu, akhirnya ditahan pihak berkuasa seminggu sebelum dia berkahwin dengan dua wanita lagi.

Dia bukan saja menyamar sebagai doktor, malah mengakui bekerja sebagai profesor, peguam, pegawai perubatan dan pegawai tentera.

"Suspek melakukan penipuan untuk mendapatkan wang mudah selain kepuasan seks," kata pegawai polis Sanjiv Satpathy.

Katanya, suspek mempunyai kebolehan memujuk dan menyasarkan wanita berkerjaya yang berusia lewat 40-an.

Dia mendakwa bergaji besar di samping menggunakan kad pengenalan palsu dan surat pelantikan untuk menguatkan dakwaan mengenai kelayakan serta latar belakang keluarganya.

Menerusi beberapa 'perkahwinan', Swain pernah memberi alasan untuk meminjam wang atau barang kemas isteri baharunya kerana perlu digunakan untuk kecemasan.

Selepas menerima habuan seperti diminta, dia kemudian beralih ke 'sasaran' seterusnya.

Polis percaya suspek sudah berkahwin lebih 18 kali berdasarkan rekod nombor telefon 'isteri' yang ditemukan di dalam telefon bimbitnya.

Dia menyimpan nombor telefon dengan menggunakan nama lokasi mangsanya seperti Madam Delhi, Madam Assam dan pelbagai nama lokasi lain.

Siasatan dijalankan polis selepas menerima laporan daripada seorang wanita berusia 48 tahun pada Mei tahun lalu.

Wanita itu mendapati suspek sudah berkahwin dengan sekurang-kurangnya tujuh wanita lain.

Swain kali pertama berkahwin pada 1978 dan mempunyai tiga anak dengan dua daripada mereka doktor serta seorang doktor gigi.

Dia yang dilatih sebagai juruteknik makmal kemudian berpindah ke Bhubaneshwar sebelum memperkenalkan diri sebagai doktor dan berkahwin kali kedua pada 2002.

"Suspek menggunakan pelbagai nama dan pekerjaan seperti doktor serta profesor sebelum mencari mangsa menerusi laman web," kata Satpathy.

Disiarkan pada: February 24, 2022 @ 6:40am
d