utama

Rumah kecil sewa mahal!

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus dan Nurul Husna Mahmud

Kuala Lumpur: Harga sewa seperti tidak masuk akal dan 'cekik darah'.

Kebanyakan rumah pangsa seluas kurang dari 800 kaki persegi di sekitar ibu kota kini disewa dengan harga yang tinggi mencecah RM1,500 sebulan.

Harga kayangan seperti itu setaraf dengan kediaman jenis kondominium mewah yang mempunyai pelbagai kemudahan termasuk kolam renang, gimnasium dan aspek keselamatan canggih.

Bagaimanapun, ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ada penyewa yang sanggup membayar harga itu atas pelbagai faktor.

Antaranya disebabkan lokasi yang strategik dan dekat dengan kemudahan pengangkutan awam seperti transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT).

Tidak hairanlah jika rumah pangsa seluas 650 kaki persegi dengan dua bilik serta satu bilik air di sekitar Kerinchi, Pantai Dalam dan Bangsar misalnya disewakan sehingga RM1,500 sebulan.

Di kawasan Wangsa Maju pula, rumah pangsa seluas 750 kaki persegi dengan dua bilik dan satu bilik air kebanyakannnya disewa antara RM1,000 dan RM1,200.

Manakala di Bandar Sri Permaisuri, rumah pangsa seluas 650 kaki persegi yang terletak berdekatan komuter, LRT, pusat komersial, sekolah dan pusat penjaja kebanyakannya disewa pada kadar RM950 hingga RM1,250 sebulan.

Di Petaling Jaya, Selangor pula, kadar semasa rumah pangsa yang terletak berhampiran LRT atau pusat komersial adalah antara RM1,000 dan RM1,300 sebulan.

Biarpun tidak masuk akal harga sewaannya namun kebanyakan pemilik turut menyediakan pelbagai peralatan rumah seperti katil, almari, meja makan dan ada juga yang sudah lengkap barangan keperluan selain penyewa hanya perlu membawa pakaian sahaja.

Nur Aishah Ghazali, 32, berkata, dia dan suami terpaksa ikat perut untuk membayar RM1,200 sebulan bagi rumah pangsa seluas 650 kaki persegi yang disewa mereka di Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri.

Katanya, meskipun mahal namun rumah pangsa yang memiliki tiga bilik dan dua bilik air itu terletak hanya 10 minit dari tempat kerjanya.

Selain itu, di sebelah rumah pangsa itu juga terdapat sekolah, masjid dan pelbagai kemudahan lain.

"Gaji saya dan suami tidak sampai RM3,500 sebulan jadi kami terpaksa berkorban banyak aspek lain bagi memastikan semua sewa, bil-bil bulanan dan keperluan dua anak yang masih bersekolah dapat disediakan.

"Apapun, memang kami terasa beban dengan kenaikan sewa rumah kerana enam tahun dahulu sewa rumah ini hanyalah RM900 sahaja," katanya.

'Kami bukan suka-suka naikkan kadar sewa'

Kuala Lumpur: "Kutipan sewa bulanan yang diterima itu hanyalah untuk melangsaikan bayaran ansuran rumah, caj-caj berkaitan termasuk penyelenggaraan dan sebagainya.

"Jika ada lebihan sekalipun, ia adalah pendapatan sampingan dan tidaklah sebanyak mana," kata pemilik rumah pangsa di Kerinchi, Bangsar, Azhar (bukan nama sebenar), 45.

Kata Azhar, tidak dinafikan memang ada tuan rumah yang mengenakan kadar sewaan tertentu bertujuan mengaut keuntungan selain menjana pendapatan pasif menerusi aset berkenaan.

Ini kerana kebanyakan pemilik rumah mempunyai banyak komitmen lain yang perlu dilunaskan.

"Contohnya saya sendiri bukan sahaja perlu bayar bayaran ansuran rumah, malah cukai pintu dan pembayaran yuran penyelenggaraan kepada Badan Pengurusan Bersama Flat (JMB) juga. Itu belum lagi kerosakan lain atau kes terpencil yang perlu ditanggung tuan rumah disebabkan karenah penyewa yang pelbagai.

"Keuntungan hasil dari sewaan rumah ada juga disimpan untuk tujuan perbelanjaan baik pulih atau penyelenggaraan yang perlu," katanya.

Menurut Azhar, ada juga pemilik rumah menanggung banyak komitmen lain yang menyebabkan kadar sewa dinaikkan namun kebanyakkan harga sewaan masih sesuai dengan nilai hartanah.

Tambahnya, jika menggunakan ejen, pihak terbabit biasanya mencadangkan kepada pemilik rumah berkaitan harga semasa bergantung kepada pasaran.

"Jadi, jika kebanyakkan rumah di kawasan ini sudah naik harga sewanya, tiada sebab saya nak bertahan pada harga lama.

"Rugilah, kerana sebagai pemilik rumah, kami juga perlu mengikut harga semasa.

"Andai seorang bakal penyewa tidak berminat dan kurang mampu pada harga yang ditetapkan, mungkin ada penyewa lain yang lebih mampu," katanya.

Sewa RM1,300 sebulan

Kuala Lumpur: Kadar sewa semasa untuk rumah pangsa atau flat di beberapa kawasan tumpuan di ibu kota seperti di sekitar Ampang, Wangsa Maju, Bandar Sri Permaisuri dan Bandar Tun Razak sudah mencecah RM1,300 sebulan.

Meskipun masih ada pemilik perumahan flat yang menawarkan sewa yang lebih murah daripada kadar itu namun ia dikatakan tidak banyak.

Di Bangsar, kadar sewa untuk rumah pangsa juga lebih mahal iaitu bermula dari RM1,000 sebulan.

Kadar sewa rumah flat yang tidak masuk akal itu sememangnya meningkat sejak kebelakangan ini dan turut diakui Pengurus Agensi Kumpulan, Landsworth Properties Sdn Bhd, Nor Hasni Hayati Hanapi.

Menurut Nor Hasni, faktor lokasi yang strategik memainkan peranan sebagai penyumbang kepada kadar sewa yang tinggi.

"Sebagai contoh, harga pasaran jualan unit rumah flat di Taman Bukit Angkasa, Bangsar South adalah sekitar RM195,000 sehingga RM250,000, bermakna pemilik yang membuat pinjaman bank untuk belian rumah flat di sini membayar balik pinjaman bank antara RM770 sehingga RM980 sebulan.

"Atas permintaan sewa yang tinggi disebabkan lokasi yang strategik dengan pusat bandar, berhampiran tempat kerja dan kemudahan pengangkutan awam yang effisien, maka kadar sewa antara RM1,000 sehingga RM1,300 atau lebih sanggup dibayar oleh penyewa yang ingin tinggal di kawasan itu, " katanya.

Nor Hasni berkata, rumah flat atau rumah pangsa biasanya merujuk kepada blok perumahan empat hingga enam tingkat dengan tangga tanpa kemudahan lif.

Ruangan unit rumah biasanya antara 600 hingga 750 kaki persegi dengan dua atau tiga bilik dan satu atau dua bilik air.

Kata Nor Hasni, rumah jenis itu menyediakan ruang pakir terbuka dan tiada kemudahan seperti kolam renang dan sebagainya.

Katanya, harga sewa yang dikenakan juga biasanya bergantung kepada budi bicara tuan rumah itu sendiri.

Namun, secara amnya, harga sewa untuk kediaman yang kosong adalah lebih murah berbanding kediaman yang dilengkapi dengan perabot.

Akur bayar sewa rumah tinggi

Kuala Lumpur: Lokasi rumah sewa yang strategik menyebabkan ibu muda, Amina, (bukan nama sebenar) terpaksa akur dan 'pejam mata' untuk membayar sewa rumah flatnya yang tinggi.

Meskipun hanya unit flat biasa namun sewanya agak mahal iaitu RM1,200 sebulan kerana ia terletak di Petaling Jaya, Selangor.

Kata Amina, sewa bulanan rumah itu sahaja sudah satu perempat daripada pendapatan bulanannya dan suami. "Kalau lihat harganya memang jauh tidak sepadan dengan keadaan rumah yang hanya berkeluasan 650 kaki persegi selain parkir terhad.

"Tetapi kedudukannya strategik selain terletak tidak jauh dengan lokasi tempat kerja saya dan suami.

"Kami juga boleh berjimat dari segi tambang dan duit minyak serta tidak perlu menempuh perjalanan jauh untuk pulang serta pergi tempat kerja.

"Andai ada kes kecemasan terutama hal anak di rumah pengasuh sekalipun, kami boleh sampai cepat ke rumah," katanya kepada Metro Ahad.

Menurut Amina, kadar sewa rumah sewanya itu sudah mengalami empat kali kenaikan daripada harga asal ketika dia dan suami menyewa iaitu RM750 pada tahun 2014.

Begitupun kata Amina, kadar sewa rumah mereka boleh dianggap masih rendah kerana kadar semasa kebanyakan rumah di kawasan perumahan sama adalah sekitar RM1,400 hingga RM1,500.

Katanya, kebetulan suaminya sudah kenal lama tuan rumah berkenaan iaitu sejak dari zaman dia bujang dan tinggal menyewa bersama rakan sehinggalah berkahwin lapan tahun lalu.

"Kadar rumah ini sudah empat kali kenaikan dan kekal RM1,200 sejak tahun 2020 apabila pandemik.

"Pernah juga kami minta kadar rumah sewa diturunkan kepada RM1,000, tetapi tuan rumah memberi alasan dia ada tanggungan berat dan hasil rumah sewa antara pendapatan sampingannya," katanya.

Tambah Amina lagi, dia dan suami pernah cuba mencari rumah dengan nilai sewaan lebih murah, tetapi lokasi terlalu jauh.

Selain itu aspek keselamatan persekitaran termasuklah pihak pengurusan flat di lokasi baru tidak begitu terurus menyebabkan mereka terpaksa kekal di rumah sedia ada.

Katanya, ramai rakan sekerja terkejut dengan harga rumah sewanya kerana harga itu boleh mendapat rumah yang jauh lebih besar dengan kemudahan bertaraf kondominium.

"Tetapi dilema kami ialah sudah selesa dengan lokasi ini selain kejiranan juga baik dan rumah pengasuh anak turut berada di kawasan sama.

"Kalau ada rumah di lokasi lebih kurang sama, tetapi nilai sewa yang lebih rendah atau keadaan rumah itu sendiri lebih baik, tentu sahaja saya dan suami sudah berpindah," katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2022 @ 12:00pm
d