utama

'Aku terima kamu seadanya' [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Terengganu: "Saya tidak terfikir untuk tangguhkan, jauh sekali membatalkan majlis perkahwinan yang dirancang hanya kerana kemalangan itu," kata Ahmad Fakhrullah Mat Zaki, 22.

Kisah kakitangan hotel itu tular di media sosial dan menarik perhatian warganet selepas dia berkongsi video TikTok mengenai isterinya, Nur Alifah Mahirah Burkhari, 20, yang cedera di muka selepas terbabit kemalangan, lima hari sebelum mereka diijabkabulkan.

Rata-rata warganet memuji Ahmad Fakhrullah yang setia di sisi Nur Alifah dan mendoakan pasangan itu bahagia hingga akhir hayat.

Menurut Ahmad Fakhrullah, dia sudah berjanji untuk menikahi Nur Alifah pada 22 Februari lalu dan tidak tergamak untuk memungkiri janji berkenaan.

Dia yang menetap di Kampung Gong Kiat di sini berkata, dia berkenalan dengan Nur Alifah sejak tamat persekolahan lagi sebelum mereka sepakat untuk mengikat tali pertunangan pada 30 Oktober 2021.

"Alhamdulillah, hubungan kami mendapat restu kedua belah keluarga dan sudah tetapkan tarikh pernikahan pada 22 Februari lalu, cuma berlaku insiden tidak diduga lima hari sebelum akad nikah apabila isteri kemalangan ketika membonceng motosikal yang ditunggang adiknya.

"Hanya Allah saja tahu perasaan saya ketika itu dan mujurlah isteri selamat walaupun cedera teruk, malah dengan izin-Nya, kami berdua disatukan juga pada tarikh dirancang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ahmad Fakhrullah bersyukur kerana majlis akad nikah dan perkahwinan dapat disempurnakan walaupun dalam keadaan isterinya belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Buat masa ini, saya yang membantu menguruskan isteri kerana dia belum pulih sepenuhnya dan walaupun bekerja, saya dapat lakukannya. Ini memang sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai suami.

"Berhubung video di TiKTok itu, saya kongsikan dengan harapan mendapat kata semangat dan berterima kasih kepada semua yang mendoakan kami," katanya.

Sementara itu, Nur Alifah terharu kerana suaminya tetap sudi menerimanya dan ada bersama selepas apa yang berlaku.

Katanya, ia bukti keikhlasan dan kesetiaan suaminya sebagai pasangan yang bukan hanya ada ketika senang.

"Kemalangan itu berlaku ketika saya dalam perjalanan menghantar barangan dipesan oleh pelanggan dan saya terjatuh daripada motosikal selepas kain jubah tersangkut pada rantai motosikal.

"Saya tidak ingat sepenuhnya apa yang berlaku namun menurut saksi, saya jatuh kemudian berguling di atas jalan raya.

"Alhamdulillah, saya tidak koma selepas kemalangan cuma cedera pada bahagian muka dengan paling teruk adalah kening, tangan dan badan.

"Saya anggap apa yang berlaku ini sebagai takdir yang sudah tertulis dan bersyukur kerana Allah panjangkan nyawa saya serta beri kesempatan untuk berkahwin dengan suami walaupun melangsungkan pernikahan ketika belum sembuh sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: March 1, 2022 @ 10:17pm
d