utama

Ditangkap guna Bluetooth ketika duduki peperiksaan

Oleh AFP

New Delhi: Seorang penuntut Sarjana Muda Perubatan di India ditangkap kerana menipu selepas didapati menggunakan peranti Bluetooth ketika menduduki peperiksaan akhir semester.

Oddity Central melaporkan, insiden itu berlaku pada 21 Februari lalu ketika 78 penuntut perubatan mengambil bahagian dalam peperiksaan akhir Sarjana Muda Perubatan, Sarjana Muda Pembedahan di Kolej Perubatan Mahatma Gandhi di India.

Difahamkan, penuntut terbabit yang tidak didedahkan identitinya itu diterima masuk ke kolej kira-kira 11 tahun lalu, namun gagal dalam peperiksaan akhir beberapa kali sejak beberapa tahun lalu dan itu adalah peluang terakhirnya untuk lulus.

Disebabkan terdesak untuk lulus, penuntut terbabit menggunakan taktik kotor dengan menanam peranti Bluetooth itu melalui pembedahan di telinganya.

Pengawas peperiksaan, Dr Vivek Sathe mengesyaki ada yang tidak kena terhadap penuntut terbabit selepas menemui telefon bimbit di dalam poket tersembunyi seluarnya.

Selepas diperiksa, telefon bimbit itu didapati dihidupkan dan disambungkan ke peranti Bluetooth terbabit.

"Ketika itu, penuntut berkenaan sedang menjalani peperiksaan Perubatan Am apabila skuad Universiti Devi Ahilya Bai yang diketuai oleh Timbalan Pendaftar Rachna Thakur tiba di tempat itu untuk menjalankan pemeriksaan," kata Dr Sanjay Dixit, dekan di kolej perubatan itu.

Pasukan itu pada awalnya tidak menemui sebarang peranti Bluetooth hasil pemeriksaan dilakukan terhadap penuntut terbabit.

Hanya selepas dibawa untuk disoal siasat, penuntut itu kemudiannya mengaku memasang penerima mikro berwarna kulit di telinganya oleh pakar bedah telinga, leher dan Tekak (ENT).

Penipuan penuntut India bukan perkara baru, malah pernah menjadi menjadi tajuk utama berita antarabangsa sebelum ini.

Disiarkan pada: March 2, 2022 @ 7:00am
d