utama

Simbahan cahaya populariti

Oleh Najiy Jefri

PERJALANAN seni pengacara popular, Neelofa dalam dunia hiburan sememangnya cukup luar biasa apabila pelbagai kejayaan diraih selama hampir 13 tahun dalam industri seni.

Biarpun sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata pertama, namun pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor itu masih menjadi jutaan dambaan peminat dan terus kekal relevan sehingga kini.

Lebih mengujakan, impak populariti yang diraih Neelofa turut membuatkan seluruh ahli keluarganya dikenali ramai dan memiliki pengaruh yang tersendiri di media sosial mereka.

Berpeluang menemu bual adik-beradik Neelofa iaitu Noor Nabila dan Ameera Khan ketika majlis pelancaran Disney x Naelofar The Little Mermaid, baru-baru ini, kedua-duanya mengaku kejayaan Neelofa memberi satu motivasi kepada mereka untuk mencapai kejayaan.

"Kejayaan Neelofa menjadi satu motivasi kepada kami untuk mencapai kejayaan tersendiri. Kami percaya rezeki adalah berbeza dan Allah bagi bersesuaian dengan kelebihan diri kita sendiri.

"Apa yang paling penting, matlamat untuk setiap apa yang kami buat adalah bagi membanggakan ibu dan bapa kami.

"Saya gembira apabila berpeluang menyaksikan

kejayaan Neelofa sehingga hari ini. Dia sudah mencapai satu fasa yang cukup membanggakan dan saya juga menyimpan keinginan untuk berjaya sepertinya satu hari nanti," kata Ameera Khan.

Tambah Ameera, simbahan cahaya populariti yang diraih ketika Neelofa rancak membina nama sedikit sebanyak memberi tekanan kepada dirinya, namun berkat tunjuk ajar daripada ahli keluarga dia mula menerima perubahan itu. .

Katanya lagi, dia tidak pernah menganggap perubahan yang dihadapi memberi tekanan yang teruk kepada dirinya.

"Pada awalnya, saya berasa sedikit tertekan, namun atas nasihat dan tunjuk ajar daripada ahli keluarga, saya menerima perubahan ini dengan positif.

"Bagi saya perubahan ini adalah satu peluang untuk saya keluar daripada zon selesa dan mencabar diri melakukan perkara baharu. Alhamdulillah, saya rasa selesa dengan diri saya dan harap dapat terus menceburkan diri untuk melakukan lebih banyak benda baharu lagi," katanya.

Bagi Nabila pula, kejayaan adiknya sememangnya mengubah kehidupan mereka sekeluarga menjadi lebih baik, namun pengajaran terbesar yang dipelajari adalah untuk memastikan dirinya teruja bergerak maju ke depan seperti Neelofa.

"Saya belajar untuk jadi jujur kepada diri sendiri, selalu merendah diri dan jangan putus asa. Saya percaya ini adalah antara kunci kejayaan penting yang perlu saya pegang untuk terus bergerak maju ke hadapan.

"Sebagai kakak, saya bangga dengan Neelofa. Bukan hanya Neelofa, tapi adik- beradik lain juga belajar banyak perkara. Mereka semua unik dalam cara mereka tersendiri,"katanya.

Sengaja bertanyakan soalan bagaimana Ameera berdepan tekanan apabila dirinya diperhati rapat oleh orang ramai, katanya, dia lalui setiap tekanan sebagai pengalaman untuk mematangkan diri.

"Sememangnya ada tekanan apabila diri kita sering diperhati. Tapi, saya percaya tekanan ini adalah satu perkara yang mesti saya lalui untuk terus maju ke depan. Saya ambil tekanan ini sebagai pengalaman untuk mematangkan diri saya sendiri," katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2022 @ 6:50am
d