utama

'Wira malam' Zaporizhzhia

Oleh Agensi

Kyiv: Seorang budak lelaki dari Zaporizhzhia di tenggara Ukraine, dipuji sebagai 'wira malam' oleh pihak berkuasa Slovakia selepas dia dipercayai menyeberangi sempadan Ukraine ke Slovakia, secara bersendirian, lapor CNN.

Kanak-kanak berusia 11 tahun itu membawa beg galas, beg plastik dan pasport.

Selain itu, ada nombor telefon tertulis di tangannya, menurut Kementerian Dalam Negeri Slovakia.

Gulf News melaporkan, ibu kanak-kanak itu terpaksa tinggal di Ukraine.

Dia memutuskan menghantar anaknya itu untuk perjalanan sejauh 1,000 kilometer, secara bersendirian menaiki kereta api.

Ia bagi mencari perlindungan dengan menumpang bersama saudara-mara keluarganya di negara jiran.

Zaporizhzhia merupakan tapak loji tenaga nuklear terbesar Ukraine dikuasai tentera Rusia.

Ia sebelum ini pernah mengalami kebakaran selepas sebuah bangunan di situ dibedil tentera Rusia.

Kenyataan itu berkata, ada maklumat yang tertulis di tangan budak lelaki itu dan pada sehelai kertas yang dilipat dalam pasportnya.

Dengan kertas itu, kakitangan di sempadan kemudian dapat menghubungi saudara-mara kepada kanak-kanak itu di Slovakia.

Mereka kemudiannya tiba untuk menjemput budak berkenaan.

"Dia datang seorang diri kerana ibu bapanya terpaksa tinggal di Ukraine. Sukarelawan menjaganya, membawanya ke tempat yang selamat dan memberinya makanan dan minuman.

"Dia mengambil hati semua orang dengan senyuman, keberanian dan keazaman yang layak untuk menjadi wira sebenar," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, tidak jelas mengapa tiada yang menemani budak itu ke negara berkenaan.

Lebih 1.2 juta pelarian kini meninggalkan Ukraine sejak 24 Februari, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 3 Mac.

Daripada 1,209,976 pelarian yang melarikan diri, majoriti daripada mereka iaitu 53.7 peratus, menyeberang ke Poland.

Disiarkan pada: March 9, 2022 @ 6:30am
d