utama

Suami isteri maut terkena renjatan elektrik di bilik air

Oleh BERNAMA

Cameron Highlands: Sepasang suami isteri ditemui mati dipercayai akibat terkena renjatan arus elektrik di dalam bilik air di sebuah flat di Taman Puncak Tringkap, Brinchang di sini, pagi hari ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 9.45 pagi, dan sebaik tiba di lokasi kejadian menemui kedua-dua mangsa yang terbaring di bilik air di tingkat dua, rumah jenis pangsapuri lima tingkat berkenaan.

"Sampai di tempat kejadian, kami mendapati masih ada arus elektrik di sekitar bilik air dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), dipanggil untuk membantu mematikan arus elektrik rumah.

"Siasatan awal menemui kesan terbakar di tapak tangan isteri, 35, dipercayai terkena arus elektrik ketika cuba membantu suaminya, 46, yang sedang mandi menggunakan pemanas air ketika kejadian berlaku," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, menurut saksi, iaitu anak perempuan mangsa, 10, ketika kejadian ibunya sebelum itu meminta pertolongan dari bilik air supaya mengambil kayu yang dipercayai untuk digunakan sebagai penebat arus elektrik, bagi membantu bapanya yang terkena renjatan pada masa itu.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa berasal dari Sarawak dan bekerja sebagai buruh kebun, selain mempunyai tiga orang anak iaitu dua orang lelaki dan seorang perempuan dengan lingkungan usia dua hingga 10 tahun.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Tanah Rata untuk bedah siasat, manakala ketiga-tiga anak pasangan itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan urusan kebajikan anak-anak mangsa," katanya dan menambah tiada unsur jenayah yang berlaku dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Disiarkan pada: March 10, 2022 @ 5:59pm
d