utama

'Terima kasih emak ambil kami'

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Walaupun berlainan agama dan bangsa, seorang wanita, Noraini Zainal Abidin, 63, sanggup berkorban membantu keluarga gelandangan berketurunan India.

Keluarga malang terbabit, A Nathendrex, 48, isterinya, M Mageswary, 40 dan anak tunggal mereka, N Thiru, 12, yang cacat kedua-dua kakinya sejak lahir terharu dengan kebaikan 'emak' angkat mereka, Noraini yang sanggup memberi mereka tinggal di rumah didiami di Kampung Sri Parit, Lukut di sini.

Menurut Nathendrex, dia tidak bekerja sejak dua bulan lalu kerana menghidap penyakit dalam perut dan isterinya pula menghadapi masalah penglihatan (buta) sejak tahun lalu akibat penyakit kencing manis kronik.

"Sebelum ini kami hidup berpindah-randah dan menghuni rumah kosong yang ditinggalkan. Namun 'emak' ambil kami dan memberikan rumahnya untuk kami tinggal.

"Dia pula sanggup tinggal bersama anaknya di Kuala Lumpur.

"Sesekali mereka balik ke sini menjenguk kami kerana kami hidup serba kekurangan. Malah, banyak peralatan elektrik rosak akibat banjir kilat hujung tahun lalu," katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, bagi menampung perbelanjaan harian, dia mengutip besi buruk dan barangan terpakai untuk dijual.

"Kalau dulu kami hidup seperti gelandangan, tetapi kini sudah ada kediaman. Namun kami masih perlu berusaha mencari rezeki harian kerana isteri dan anak adalah orang kurang upaya (OKU).

"Sebelum saya keluar mencari rezeki (besi buruk), saya perlu memasak dahulu supaya isteri dan anak tidak kelaparan di rumah.

"Pernah juga saya keluar dari pagi hingga ke petang dan gagal menemui barangan besi buruk untuk dijual. Akibatnya kami berlapar sepanjang hari, namun kami sudah biasa dengan keadaan itu," katanya yang berasal dari Pontian, Johor.

Nathendrex berkata, anak tunggalnya, Thiru kini sudah boleh berjalan dan membantu isterinya di rumah ketika dia keluar mencari rezeki.

Sementara itu, Noraini berkata, dia simpati terhadap nasib keluarga itu dan sanggup memberikan rumahnya untuk mereka berteduh.

"Biarlah mereka tinggal di sini kerana mereka tidak ada tempat tinggal. Lebih malang isteri serta anak tunggal mereka OKU pula.

"Saya kini tinggal bersama anak (di Kuala Lumpur) sambil menjaga dua cucu yang masih kecil. Saya balik kerana mendapat tahu banyak barangan elektrik rosak sejak dilanda banjir akhir tahun lalu," katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2022 @ 6:40am
d