utama

Bertelagah berbeza 'sekolah politik'

Oleh KAFE AHAD

Orang Melayu berpecah akibat aliran pemikiran politik. Itu mungkin tanggapan sebahagian besar orang Melayu sendiri.

Namun, wujud persoalan, adakah bangsa lain turut berdepan isu berpecah sesama mereka?

Sejauh mana orang Melayu hari ini bertelagah kerana 'sekolah politik' yang berbeza?

Ikuti kupasan Kafe Ahad bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN yang mewawancara pemerhati politik Malaysia yang juga Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) PROF ULUNG DATUK DR SHAMSUL AMRI BAHARUDDIN.

Melihat kepada iklim politik hari ini, gagasan kesepaduan orang Melayu khususnya semakin terpecah dengan wujud kepelbagaian political faction. Adakah ini akan mempengaruhi tahap kesatuan orang Melayu?

'Melayu berpecah' ungkapan yang sering disebut-sebut sejak PRU12 pada 2008.

Dalam etnik Melayu di Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) terdapat pula beberapa sub etnik Melayu seperti Minangkabau, Jawa, Bawean, Bugis, Mendahiling, Kerinci, Kampar, Aceh, Rawa, Orang Siam/Patani, Melayu Johor-Riau, Melayu-Arab, Melayu Proto dan Jawi Peranakan.

Sejak merdeka pada 1957, Perlembagaan Persekutuan dalam Artikel 160 (2) telah mendefinisi bahawa orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu, mereka lahir atau bermastautin di Persekutuan sebelum dan pada hari kemerdekaan.

Sejak itu, lahirlah kategori baru iaitu etnik 'Melayu Perlembagaan' menggantikan etnik 'Melayu Banci.'

Kefahaman daripada Artikel 160(2) ini sudah mewujudkan stereotaip bahawa Melayu semuanya seragam atau homogen.

Kategori etnik Melayu Perlembagaan inilah yang dibayangkan sebagai seragam manusianya sejak 1957.

Melayu Perlembagaan inilah yang sekarang dikatakan menghadapi perpecahan politik atau political faction terutamanya selepas PRU-12.

Peristiwa bersejarah penubuhan Malayan Union melahirkan satu moment of unity atau 'detik perpaduan' dalam kalangan sub etnik Melayu dan kelompok profesional Melayu yang menentang Malayan Union dan kemudiannya menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PKMB atau Pekembar) atau United Malays National Organization (Umno) pada 11 Mei 1946.

Pada 1951, Presiden Umno Datuk Onn Jaafar meninggalkan Umno kerana gagal mendapat izin membuka keahlian parti itu kepada bukan Melayu.

Pada 24 November 1951, Parti Islam Semalaya (Pas) ditubuhkan setelah pimpinannya meninggalkan Umno seperti yang dilakukan oleh Datuk Onn Jaafar.

Dalam kata lain, 'sekolah Umno' melahirkan pimpinan parti politik serpihan Melayu termasuk mereka yang menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) (Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali), Bersatu atau PPBM (Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamed Azmin, Datuk Seri Hamzah Zainuddin), Pejuang (Dr Mahathir, Mukhriz).

Pas pernah menjadi ahli dalam Barisan Nasional pimpinan Umno.

Berjasa dan Hamim adalah parti serpihan Pas setelah Pas keluar BN.

Apakah penubuhan parti serpihan dan political faction boleh dianggap sebagai sebagai 'perpecahan Melayu'?

Fenomena ini menggambarkan sifat organic solidarity (kesepaduan organik) etnik Melayu, yang ada berbagai sub etnik terkandung dalamnya dan setiap komponen saling bergantung antara satu sama lain.

Kalau kita perhatikan, apa yang dikatakan perpecahan itu sebenarnya adalah penyusunan semula aturan bahagian-bahagian yang terpisah iaitu hubungan antara sub etnik dan kelompok dalaman etnik Melayu.

Walaupun nama parti berbeza - Umno, Pas, PKR, Bersatu dan Pejuang namun kalau kita lihat keanggotaan kepimpinan setiap parti, ia berkisar dalam kalangan sekelompok individu yang prominen yang semuanya graduan daripada sekolah Umno.

Hubungan mereka ini boleh dianggap seperti biduk lalu kiambang bertaut bukan berkerat rotan berpatah arang.

Keadaan ini tidak dilihat oleh kebanyakan pemerhati politik Malaysia.

Kata-kata kesat yang dihamburkan ketika perdebatan terbuka berlaku, seperti dalam kempen PRN Johor 2022, antara bekas pemimpin Umno dan pemimpin Umno sekarang adalah kebiasaan.

Perilaku ketika berkempen, sering kata-mengata, sindir menyindir atau buat hate speech.

Memang tidak sedap didengar namun berlaku dan dirakamkan dalam radio, televisyen dan akhbar, malah di media sosial.

Adakah hanya Melayu saja yang berpecah, bagaimana dengan kaum lain seperti Cina?

Andaian bahawa kaum bukan Melayu seperti etnik Cina cukup utuh pun boleh diragui.

Tidak ada kajian oleh mana-mana pemikir, seperti yang mengkaji politik Melayu.

Ini mungkin anggapan para penganalisis Melayu yang rata-rata tidak boleh berbahasa Mandarin atau Kantonis.

Ternyata perbandingan perpaduan Melayu dan dalam kalangan bukan Melayu ini tidak seimbang daripada segi data dan juga maklumat.

Kelompok-kelompok dalam DAP juga ada bercakaran di Johor dalam kempen PRN Johor 2022 berkait dengan pemilihan calon yang layak bertanding.

Begitu juga semasa PRN Sarawak pada Disember 2021, kelompok Cina yang berbeza parti turut bertengkar dengan keras sesama sendiri mengenai kepentingan komuniti Cina Sarawak yang berhajat dikategorikan sebagai native atau 'anak pribumi' selepas bermastautin di Sarawak
selama tiga generasi.

Pemerhati politik Semenanjung, khususnya pemerhati politik Melayu terus membisu dalam isu, sama ada mereka tidak tahu atau tidak peduli.

Dalam pentas politik di negara ini, parti yang dapat menampilkan roh Melayu itu dilihat akan menguasai politik negara dalam jangka panjang, pandangan Prof dalam hal ini?

Ada benarnya kenyataan ini, setidak-tidaknya daripada segi harapan etnik Melayu amnya, sama ada kelompok-kelompok parti dalam etnik Melayu dapat mencari tapak integrasi yang sesuai adalah cabaran besar yang mereka hadapi.

Nampaknya, kuat seruan untuk satu parti Melayu mendominasi seperti sebelum 2018.

Apakah punca visi untuk meningkatkan kuasa ekonomi orang Melayu terganggu akibat daripada perpecahan ini?

Di Malaysia, ada dua bentuk kuasa majoriti dan kuasa minoriti.

Pertama, majoriti kuasa ekonomi dalam pegangan etnik Cina, tapi mereka minoriti daripada segi politik kerana bilangan kependudukan minoriti.

Kedua, kuasa majoriti politik (bilangan pengundi) ada di tangan Melayu, tetapi etnik Melayu adalah minoriti dalam bidang ekonomi.

Melalui keputusan PRU14, kita sudah menyaksikan kekuatan politik Cina dan bukan Melayu umumnya yang berjaya membawa kemenangan kepada PH menjadi parti kerajaan.

Menurut penganalisis politik, Dr Chandra Muzafar, 95 peratus daripada pengundi China, 85 peratus pengundi India dan 30 peratus pengundi Melayu menyokong PH.

Menurutnya kerajaan PH adalah kerajaan pilihan bukan Melayu.

Ekonomi etnik Melayu tidak terganggu, tetap bertaraf minoriti berbanding ekonomi etnik Cina.

Ini kerana orang Cina mengawal rantaian pembekalan dalam hampir semua sektor ekonomi di Malaysia.

Keadaan ini tak berubah, sama ada Melayu berpecah atau bersatu.

Pada pandangan Prof, apakah yang akan berlaku selepas daripada PRN Johor ini dan mungkinkah akan ada lagi PRN negeri lain menjelang PRU15?

Masa depan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak, Kedah dan Negeri Sembilan memang boleh berubah kerana majoriti kerajaan yang memerintah kecil.

Terpulang bagaimana kerajaan yang sedia ada boleh mewujudkan keseimbangan dan kerjasama antara parti lawan dan kawan supaya tak tergelincir sehingga membawa kepada PRN.

Apakah kesan perpecahan orang Melayu dalam banyak parti politik, apakah kelak orang Melayu akan menjadi minoriti untuk undi dalam majoriti jumlah besarnya?

Etnik Melayu tetap menjadi majoriti daripada segi politik.

Walaupun pada PRU14 status majoriti ini terjejas dengan kalahnya BN.

Namun dalam enam PRK dan PRN (2019, 2020, 2021) undi majoriti Melayu kembali ke BN.

Tersungkurnya PH adalah disebabkan bekas pemimpin Umno yang menjadi Perdana Menteri PH ketika itu menarik balik sokongannya terhadap PH.

Pada hemat Prof, apakah ideologi politik paling ideal pada masa kini? Adakah masih berteraskan kepada parti atau memperjuangkan agenda semasa rentas parti itu adalah masa depan politik tanah air.

Orientasi politik, bukan ideologi, dalam alam sekitar politik Malaysia tetap berasaskan etnik, malah ada pengaruh subetnik juga.

Di satu pihak, dalam kalangan etnik Melayu, slogan dan pegangan orientasi mereka terus berkait dengan 'bangsa, agama dan negara.' Menyelamatkan bangsa Melayu sebagai cita-cita.

Orientasi dan agenda semasa rentas parti adalah agenda PH dan NGO bukan Melayu yang menggunakan slogan seperti perlindungan alam sekitar, hak asasi manusia, masyarakat sivil dan keadilan sosial.

Dengan cara ini, mereka mendapat perhatian dan sokongan sejagat.

Disiarkan pada: March 13, 2022 @ 9:00am
d