utama

'Saya sudah hadir ke SKMM' - Zul Ariffin

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon Zul Ariffin mengesahkan sudah hadir dan memberi kerjasama penuh pada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di ibu pejabatnya di Cyberjaya, hari ini.

Ia berikutan Zul dikehendaki memberikan keterangan susulan tindakannya memuat naik video babak panas dalam drama Perempuan Itu lakonannya bersama pelakon baru, Siti Hariesa di Instagram, baru-baru ini.

"Saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada pihak SKMM berhubung siasatan berkaitan penerbitan drama bertajuk Perempuan Itu," tulisnya ringkas di Instagram Story.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan SKMM mengesahkan pelakon itu hadir di ibu pejabatnya di Cyberjaya, hari ini.

Sebelumnya, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Twitter berkata, Zul akan disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia (KMM) 1998 berhubung perkara itu.

"Proses undang undang berjalan. Pelakon Zul Arifin akan di siasat di bawah Seksyen 233 Akta KMM (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) kerana 'posting' Instagram yang menyalahi undang undang," tulisnya di Twitter.

Dalam hantaran sama, Annuar berkata, adegan seperti dipaparkan itu tidak akan dibenarkan untuk tayangan sama ada di bulan Ramadan atau bulan lain.

Disiarkan pada: March 22, 2022 @ 6:14pm
d