utama

Kereta kebal kayu untuk anak

Oleh AFP

Hanoi: Seorang bapa di Vietnam sanggup menghabiskan masa dan melabur wang simpanan bagi mengubah suai sebuah van lama menjadi kereta kebal kayu untuk anaknya.

Setiap hujung minggu, Truong Van Dao meluangkan masa memandu kereta kebal kayu yang dulunya van lama mempunyai kapasiti 16 tempat duduk itu di kawasan perumahannya di wilayah Bac Ninh dekat timur ibu kota Hanoi.

Dia membawa bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun.

Kenderaan kayu itu, berasaskan model kereta kebal Perancis EBR105 dilengkapi replika senapang sepanjang 2.8 meter.

Kenderaan itu dihasilkan dengan kos AS$11,000 (kira-kira RM46,283).

"Saya dan anak saya berasa lebih seronok menaiki kereta kebal, yang tiada kaitan dengan senjata mahupun peperangan.

"Saya hanya menganggapnya sebagai kereta biasa, mengubahsuainya menjadi seperti sebuah kereta kebal untuk menjadikannya lebih menarik," tambah tukang kayu berusia 31 tahun itu.

Dao dan dua rakan sekerja mengambil masa tiga bulan untuk memberi 'wajah' baharu kepada van yang sudah lama tidak digunakan itu.

Dia mengekalkan enjin utama dan lantai bas mini, tetapi menyusun semula bahagian dalam untuk memberi ruang kepada gear.

"Bahagian paling sukar adalah membuat empat roda bergerak," katanya.

Apa yang pasti, Dao dan anaknya tidak akan melanggar peraturan had laju.

Ini kerana kelajuan maksimum kereta kebal kayu itu hanya mencecah 25 kilometer (km) sejam dan jika dipandu lebih laju, kabel yang menyambungkan roda akan terputus.

Ciptaan kenderaan itu mengimbas kembali detik bersejarah Vietnam ketika kereta kebal komunis merempuh pintu masuk Istana Kemerdekaan Saigon pada tahun 1975.

Ia menamatkan episod perang di Vietnam, negara yang pernah mengalami terbabit konflik dengan Perancis, Amerika Syarikat (AS) dan China.

Vietnam yang memerangi AS diberikan kereta kebal oleh sekutunya iaitu Rusia dan China.

Bagaimanapun, zaman berubah apabila kereta kebal kini lebih dikaitkan dengan alat permainan kanak-kanak.

"Tiada masalah jika semua kereta kebal di dunia ini sama dengan kereta kebal saya, kerana ia hanya untuk suka-suka," kata Dao dengan bangga.

Disiarkan pada: March 31, 2022 @ 6:30am
d