utama

Ingatkan kemalangan biasa, rupanya anak terkorban - Ibu [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Zaid Salim

Kuala Terengganu: Perasaan tidak sedap hati seorang ibu selepas tidak melihat van dinaiki anaknya berhampiran rumah membawa khabar duka apabila buah hatinya itu disahkan maut dalam kemalangan di Kampung Sungai Ikan Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kuala Nerus, petang tadi.

Dalam kejadian jam 6.22 petang itu, Mohd Shalam Mat Saat, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas van dinaikinya bersama tiga lagi rakan terbabit dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan iaitu van, dua kereta (Proton Wira dan Proton Persona) dan sebuah bas ekspres.

Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah tiga rakan sekerja Mohd Shalam.

Menurut Che Rokiah Che Long, 65, biasanya van dinaikinya akan melalui kawasan rumah mereka di Losong sebelum anaknya itu pulang ke kediamannya di Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, Marang.

"Biasanya van diparkir berhampiran rumah tetapi petang tadi tak nampak van membuatkan saya terdetik mengapa dia pulang lewat hari ini.

"Memang rasa tak sedap hati dan perasaan itu terjawab apabila menerima panggilan daripada menantu (isteri Mohd Shalam) jam 7.20 malam memaklumkan Mohd Shalam terbabit dalam kemalangan.

"Ketika terima panggilan itu, kami sedang berbuka dan menantu cuma bagi tahu dia kemalangan sahaja. Sebaik selesai solat Maghrib, kami sekeluarga ke hospital sebelum dimaklumkan anak sudah tiada," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, malam tadi.

Sementara itu, bapa kepada Mohd Shalam, Mat Saat Jusoh, 72, berkata, dia tidak menyangka kemalangan itu meragut nyawa anak keempat daripada tujuh beradik.

"Ketika menantu telefon, ingatkan anak hanya kemalangan biasa tetapi sangkaan itu meleset apabila anak disahkan meninggal dunia," katanya.

Allahyarham Mohd Shalam meninggalkan isteri yang sedang hamil tiga bulan dan seorang anak berusia lima tahun.

Zatul

Berita berkaitan:

  • Tragedi hari kedua Ramadan: Empat maut, dua parah [METROTV]
  • Disiarkan pada: April 5, 2022 @ 12:42am
    d