utama

Hikmah pengalaman lalu

Oleh Zaara Talita

KEGAGALAN lalu tidak menjadikan pelakon, Nadia Brian, 30, trauma untuk mendirikan rumah tangga.

Baginya, kesempatan ini digunakan untuk diluangkan bersama keluarga tercinta.

Apatah lagi, dua tahun negara berdepan pandemik dan sambutan Ramadan tidak dapat dilaksanakan seperti lazimnya.

Jadi, kemanisan Ramadan tahun ini lebih dirasai apabila dapat dimanfaatkan bersama orang tersayang.

"Sebelum ini saya pernah diuji apabila nenek dan beberapa ahli keluarga turut dijangkiti Covid-19. Syukur, mereka tidak mengalami kesan jangka panjang dan kembali sihat seperti dulu.

"Saya sendiri belum pernah dijangkiti virus ini, cuma hanya perlu berhati-hati dan berjaga-jaga kerana sesiapa saja mungkin dijangkiti. Covid-19 ini sebenarnya dilihat mengajar kita untuk menjadi lebih pembersih kerana amalan seperti mencuci tangan dan sebagainya," katanya.

Nadia berkata, sempena Ramadan ini dia mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama keluarga.

"Walaupun ada menjalani penggambaran, namun jadual kerja tidak terlalu padat," katanya.

Selepas melalui pelbagai ujian dan cabaran sepanjang mendirikan rumah tangga, Nadia atau nama sebenarnya Najwa Mohamed Rashidi menjadikan pengalaman lalu sebagai proses mematangkan dirinya.

Belum bertemu pengganti, fokusnya kini lebih ke arah kerjaya dan keluarga, namun tidak trauma untuk kembali mendirikan rumah tangga.

"Saya masih 'single' dan masa banyak diluangkan dengan keluarga dan kerjaya. Mungkin jika berkahwin dua atau tiga tahun lagi, tapi tidak tahu sekiranya jodoh datang lebih awal. Saya tidak trauma unuk berkahwin, cuma itu bukan keutamaan buat masa ini," katanya.

Katanya, pengalaman lalu banyak mematangkan dirinya dalam tindak-tanduk dan berharap memperbaiki diri ke arah lebih baik untuk masa hadapan.

Geram segelintir netizen makin melampau

Sering dihujani komen negatif mengenai paras rupa dan bentuk badan, Nadia kini mengambil langkah menjawab kembali kecaman yang dilemparkan terhadap dirinya.

Antara komen yang diterimanya seperti memperlekehkan bentuk badan dan aset kewanitaannya.

"Bila baca semua komen itu, terus terfikir mengapa mereka tergamak menulis komen seteruk itu dan mereka perlu ingat, negara kita ada undang-undang.

"Seboleh-bolehnya saya tidak mahu layan sangat, tetapi jika mereka semakin melampau, saya akan jawab sebelum 'block' mereka.

"Jika kecaman dilemparkan tanpa mempedulikan perasaan kita, kenapa kita hendak menjaga hati mereka? Jadi, saya memilih untuk membalas saja," katanya.

Pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu turut menasihatkan segelintir netizen supaya menghormati kehidupan orang lain dan berhenti melakukan perkara tidak berfaedah itu.

Harap Kuasa terus 'berkuasa'

Nadia yang kini tampil dengan drama terbaharu berjudul Kuasa berkata, ia satu pengalaman yang hebat apabila pertama kali diberi peluang untuk berlakon dalam drama kategori premium.

"Saya menggunakan kesempatan ini dengan memastikan prestasi lakonan dan penampilan seiring. Menjadi sebahagian daripada barisan pelakon drama ini sangat menakjubkan yang mana semua praproduksi dilakukan dengan sangat teliti. Kualitinya seperti berlakon filem dan bila tonton hasilnya tadi memang berbeza dan luar biasa.

"Malah, saya turut melalui emosi seperti 'roller-coaster' bagi menjayakan watak Delilah dalam drama ini. Hampir berdepan tekanan juga kerana tugasnya untuk membersihkan kesilapan dan kesalahan orang lain," katanya.

Selain Nadia, Kuasa menggabungkan pelakon senior dan baharu seperti Nazim Othman, Ridzuan Hashim, Ning Baizura, Dazrin Kamarudin, Izzy Reef, Nia Atasha, Alicia Amin, Syanie Hisham dan Azri Iskandar.

Drama yang bakal menemui penonton mulai 11 April ini mengetengahkan kisah fiksyen sebuah keluarga berpengaruh dalam dunia hiburan yang hidup penuh dengan glamor, kemasyhuran, kerakusan kuasa dan pengkhianatan.

Kuasa ditayangkan di saluran Astro Citra jam 9 malam bermula 11 April ini termasuk di platform Astro GO atau On Demand.

Disiarkan pada: April 6, 2022 @ 6:30am
d