utama

Jumpa rangka kanak-kanak: Lelaki dipercayai bapa luah perasaan di FB

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang lelaki menggunakan akaun Facebook (FB) dengan nama Hasrul Izwan mengaku sebagai bapa kepada kanak-kanak perempuan yang rangkanya ditemukan di belukar dekat Jalan Bukit Zamrud, Khamis lalu.

Berdasarkan dua hantaran di laman sosial berkenaan, lelaki itu meluahkan perasaan sedih dan menyedekahkan al-Fatihah kepada mangsa yang diakhiri dengan tanda pagar #hanan.

"Maaf kerana tidak ada di sisimu ketika kau menempuh hari-hari yang amat menyakitkan hingga akhir sayang #hanan.

"Al-Fatihah... Damailah engkau di sana wahai sayangku... #hanan," katanya menerusi hantaran di FB.

Bagaimanapun, lelaki itu mengambil sikap berdiam diri daripada menjawab soalan netizen di ruangan komen yang tertanya-tanya mengenai kejadian itu selain ada juga yang mengucapkan takziah dan menyedekahkan surah al-Fatihah.

Usaha menghubungi lelaki itu belum berjaya apabila dia tidak menjawab mesej yang dihantar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan berkata, pihaknya hanya menunggu laporan patologi serta ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Kita tunggu saja laporan keputusan patologi dan DNA untuk mengenalpasti identiti rangka yang ditemui itu," katanya ringkas ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Harian Metro pada Khamis melaporkan polis menemui rangka dipercayai milik kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di lokasi pencarian di Jalan Bukit Zamrud, di sini, selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.

Pada 28 Mac lalu polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke belukar di Jalan Bukit Zamrud.

Polis bagaimanapun enggan mendedahkan tujuan pencarian berkenaan, namun mengesahkan kedua-dua berkenaan mempunyai kaitan.

Berita berkaitan

Rangka kanak-kanak perempuan ditemukan di Jalan Bukit Zamrud [METROTV]

Pencarian di lokasi penemuan mayat wanita belum berhasil

'Mereka tengah usaha cari' - Timbalan KP Negeri Sembilan [METROTV]

Kes jumpa mayat di gaung kini kes bunuh [METROTV]

Tiga ditahan bantu siasatan penemuan mayat wanita

Punca wanita mati di belukar masih misteri

Nak rakam gambar, terjumpa mayat pula

Disiarkan pada: April 9, 2022 @ 1:20pm
d