utama

Lelaki biadab hina Nabi ditahan polis

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang lelaki di Taman Sri Muda di Shah Alam, hari ini bagi membantu siasatan berhubung hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di laman Facebook (FB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, suspek berusia 50 tahun itu ditahan 11.15 pagi dan polis merampas telefon bimbit yang digunakan memuat naik hantaran berkenaan.

Menurutnya, polis mengesan akaun FB Uthaya Sankar SB yang memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW pada Khamis lalu.

Beliau berkata, siasatan kini dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman.

"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan atas alasan agama suasana tidak harmoni atau perasaan permusuhan atau memudaratkan perpaduan.

"Selain itu, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar terhadap kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abd Jalil berkata, polis akan mendapatkan perintah reman esok mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

"Polis menyeru orang ramai untuk menggunakan platform media sosial sebaik mungkin tanpa menyentuh sensitiviti agama dan kaum," katanya.

Disiarkan pada: April 11, 2022 @ 6:15pm
d