utama

Wanita langgar mati 8 remaja basikal lajak dipenjara 6 tahun [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan kerani wanita dipenjara enam tahun dan didenda RM6,000, kerana kesalahan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, lima tahun lalu.

Ia sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober lalu yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan responden daripada tuduhan berkenaan.

Responden, Sam Ke Ting, 27, turut diperintah menjalani hukuman enam bulan penjara jika tidak membayar denda selain hilang kelayakan memandu selama tiga tahun yang berkuat kuasa selepas selesai hukuman penjara.

Keputusan itu diputuskan Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika keputusan rayuan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Abu Bakar dalam keputusannya berkata, responden diputuskan bersalah dan disabitkan atas pertuduhan yang dikenakan selepas melalui perbicaraan penuh dan bukannya kes pengakuan bersalah.

Oleh itu, beliau berkata, mahkamah mengambil kira hujahan pihak berkaitan selain menimbang pelbagai faktor dan dalam menjatuhkan hukuman, kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi.

"Perbuatan responden yang memandu cara melulu atau merbahaya menyebabkan kehilangan lapan nyawa. Kesalahan yang dilakukan responden adalah kesalahan berat.

"Parlimen telah meminda hukuman bagi kesalahan ini pada 2020 menerusi Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020, oleh itu responden bernasib baik kerana kesalahan disabitkan berlaku pada 2017 iaitu sebelum pindaan dibuat.

"Mahkamah turut menimbangkan kesalahan yang dilakukan responden adalah kes yang tinggi di Johor dengan statistik menunjukkan kes kemalangan maut antara 2011 hingga 2021 berjumlah 10,297 kematian.

"Berdasarkan itu, mahkamah ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun mulai tarikh sabitan hari ini dan denda RM6,000. Jika gagal bayar denda, tambahan enam bulan penjara.

"Responden juga hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tiga tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara," katanya.

Prosiding rayuan itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala Ke Ting diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.

Responden turut gagal menangguhkan hukuman penjaranya, apabila hakim memerintahkan dia dipenjara mulai hari ini selagi tiada kebenaran Mahkamah Tinggi untuk rayuan penangguhan dibuat.

Terdahulu, ketika membacakan keputusan rayuan kes itu, Abu Bakar berkata, pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan mahkamah tinggi turut memerintahkan tertuduh untuk membela diri.

Mahkamah bicara didapati terkhilaf dalam menimbangkan semula isu dibangkitkan di akhir kes pendakwaan berkaitan identiti pemandu kereta, kebolehterimaan eksibit dan tiada pengecaman atas mangsa.

Abu Bakar berkata, mahkamah bicara juga terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara tidak bersumpah dan hanya bersifat penafian semata-mata.

"Responden dalam pembelaannya menyatakan tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar basikal mangsa sebelum melarikan diri, namun versi ini tidak pernah ditimbulkan responden semasa kes pendakwaan.

"Oleh itu, mahkamah ini mengenepikan keputusan mahkamah bicara yang melepas dan membebaskan responden di akhir kes pembelaan. Mahkamah memutuskan responden bersalah dan disabitkan atas pertuduhan itu," katanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan mempertimbangkan prinsip kepentingan awam berikutan kes itu mengorbankan lapan mangsa selain kes kemalangan maut yang meningkat di negeri ini saban tahun.

Bagaimanapun, pihak pembelaan, merayu supaya mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan ini kesalahan pertama responden dan dia menanggung kedua ibu bapanya.

Sebelum itu, Ke Ting yang berbaju kemeja putih bergaris hitam dan berseluar warna krim, hadir ditemani seorang rakannya tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru, jam 9.50 pagi tadi.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini, mengarahkan Ke Ting membela diri, selepas mahkamah majistret membebaskan dan melepaskan dia daripada tuduhan memandu secara melulu, hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Shahanaz Sulaiman dilaporkan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, sekali gus mengetepikan perintah dibuat Mahkamah Majistret pada Oktober 2019 untuk melepas dan membebaskan Ke Ting.

Pada 28 Oktober tiga tahun lalu, Mahkamah Majistret Johor Bahru, melepas dan membebaskan jurujual wanita berkenaan daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak berkenaan.

Majistret Siti Hajar Ali dilaporkan membuat keputusan itu terhadap Ke Ting, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan bermula Ogos 2017, 46 saksi pendakwaan dan 214 eksibit dikemukakan di mahkamah.

Pada 10 November tahun lalu, pihak pendakwaan dilaporkan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret yang melepas dan membebaskan jurujual wanita itu.

Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, ketika itu, Amir Nasruddin dilaporkan berkata, notis rayuan difailkan pihaknya selepas mendapati dan percaya ada merit memfailkan notis terhadap beberapa isu.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.

Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.

Disiarkan pada: April 13, 2022 @ 11:10am
d