utama

Pulanglah Kak Teh...

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Jerantut: "Sudah-sudahlah merajuk Kak Teh. Lupakan semua yang berlaku, rindu sangat berpuluh tahun tidak bertemu, kalau dapat jumpa sekejap pun jadilah. Raya dah dekat sangat."

Begitu luahan hati Batliyah Din, 62, apabila amat mengharapkan kepulangan kakaknya Che Putih, 70-an, pada 1 Syawal ini selepas menghilangkan diri sejak 47 tahun lalu.

Batliyah berkata, kakaknya seharusnya melupakan kisah-kisah lama kerana masing-masing sudah berusia dan bila-bila masa akan kembali menghadap Allah SWT.

"Saya tidak pernah berhenti berdoa untuk dipertemukan kembali dengan kakak, lebih-lebih lagi ketika berada di hujung Ramadan dan 1 Syawal akan menjelang tidak lama lagi.

"Sejak kehilangannya, setiap kali tiba bulan puasa terutama waktu berbuka dan menjelang Aidilfitri, air mata pasti mengalir terkenangkan Kak Teh (panggilan bagi Cik Putih)," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, kehilangan Che Putih begitu dirasai terutama ketika bapa, Din Mohamad meninggal dunia pada 2002, diikuti ibunya, Bashah Hassan (2007) dan adik keempatnya, Mohd Noor (1980), apabila kakaknya itu langsung tidak muncul.

Katanya, Che Putih anak ketiga daripada tujuh beradik itu bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, tiba-tiba keluar meninggalkan keluarga kerana 'merajuk' apabila ibu bapa mereka tidak bersetuju permintaannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki yang sudah mempunyai isteri.

"Dua kali kakak bawa balik lelaki itu bertemu mak dan ayah mohon restu untuk berkahwin, tetapi permintaannya ditolak.

"Kali terakhir kami bertemu pada 1975 dan dua hari selepas kejadian itu, kakak terus menghilangkan diri tanpa khabar berita sehingga hari ini," katanya yang menetap di Felda Padang Piol, di sini.

Batliyah berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga menetap di Kampung Pantai Perai, Kedah selepas bapanya bersara sebagai anggota polis di Balai Polis Penang Road, Pulau Pinang sekitar awal 70-an.

"Ketika Kak Teh meninggalkan kami, saya baharu berusia 15 tahun, manakala dia dalam lingkungan 20-an," katanya.

Batliyah yakin kakaknya kini sama ada di Pahang atau Pulau Pinang berdasarkan maklumat yang diterima daripada ahli keluarga yang lain.

"Saya pernah mencarinya di Balik Pulau, Pulau Pinang tetapi hampa dan tidak tahu lagi di mana Kak Teh tinggal sebenarnya walaupun kini dia dipercayai berada di Pahang," katanya.

Batliyah berkata, Che Putih adalah seorang kakak yang penyayang kerana banyak berbelanja untuk keluarga apabila menjelang Aidilfitri.

"Kenangan ini membuatkan saya amat sedih setiap kali berpuasa dan menyambut hari raya. Saya harap Kak Teh dapat datang ke rumah saya di Felda Padang Piol.

"Kami boleh mengatur pertemuan untuk berjumpa dengan adik-beradik yang menetap di Kedah dan Perlis," katanya.

Batliyah berharap orang ramai terutama anak Che Putih yang membaca kisah ini dapat menghubunginya di talian 014-6389428.

"Jika dia uzur, saya sanggup pergi berjumpanya tidak kira walau di mana dia berada," katanya.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu turut diselubungi kebimbangan sekiranya tidak dapat bertemu Che Putih buat selama-lamanya kerana faktor usia mereka yang meningkat.

"Pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat hantaran menerusi media sosial Facebook dengan harapan Kak Teh dapat ditemui lebih-lebih lagi ketika umat Islam akan menyambut lebaran.

"Andai kata dia sudah tiada, saya mahu bertemu waris dan mengetahui perjalanan hidupnya selama ini.

"Semoga Syawal yang bakal tiba ini memberi sinar kepada saya sekeluarga untuk bertemu Kak Teh bagi melepaskan rindu yang terpendam lama," katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2022 @ 7:05am
d