utama

Batliyah menangis hingga tak mampu bercakap - Kak Teh [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya hati ketika dihubungi adik petang semalam, sehingga saya tak dapat tidur lena.

"Syukur, Aidilfitri kali ini memberi seribu rahmat dan bermakna kami sekeluarga kerana dapat menghubungi adik yang sudah lama terpisah," kata Che Putih Din, 71.

Che Putih berkata, dia kini menetap di Sungai Nibong bersama suami, Zakaria Shafee, 82, serta mempunyai anak lelaki berusia 39 tahun.

Katanya, dia mengetahui mengenai pencarian adiknya, Batliyah, 62, itu petang semalam, menerusi peniaga yang tinggal berhampiran rumahnya.

"Peniaga burger itu memberitahu ada individu dari Pahang mendakwa mencari kakaknya bernama 'Kak Teh' sebelum saya dihubungi Batliyah kira-kira jam 6 petang.

"Kali pertama dapat berbual dengannya di telefon, Batliyah menangis sehingga tidak mampu bercakap sebelum dia menelefon saya semula malam tadi.

"Kami merancang mahu berjumpa selepas raya kerana kesihatan saya juga tidak berapa baik selepas menjalani dua pembedahan akibat kanser payudara tahap dua sejak dua tahun lalu," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini.

Che Putih juga berkesempatan membuat panggilan video kepada Batliyah dan ia adalah kali pertama mereka 'bersua' sejak terpisah pada tahun 1975.

Selain bertanya khabar adik beradik yang lain, Che Putih dan Batliyah juga turut memperkenalkan suami masing-masing.

"Ini kali pertama saya lihat Batliyah (menerusi panggilan video) dan memang banyak perubahan sehingga saya hampir tidak mengenalinya.

"Saya juga baru dapat tahu ibu dan ayah juga sudah meninggal dunia, memang sebak kerana tidak dapat bertemu dan cium tangan mereka buat kali terakhir

"Setiap kali terdengar takbir raya, hati ini sayu teringat ibu dan ayah... hendak pulang tapi takut tidak diterima dan selama ini saya menumpang kasih dengan keluarga mentua.

"Sudah tidak ada rajuk dalam hati, cuma jika diizinkan Tuhan, saya ingin bertemu semula dengan adik beradik," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan kisah pencarian Che Putih yang menghilangkan diri sejak 1975 selepas permintaannya untuk berkahwin dengan lelaki sudah beristeri ditolak oleh bapanya, Din Mohamad dan ibu, Bashah Hassan.

Berita berkaitan:

  • Kak Teh akhirnya dapat dijejaki
  • 'Kalau benar Kak Teh, saya tak sabar bertemunya'
  • Pulanglah Kak Teh...
  • Disiarkan pada: April 28, 2022 @ 3:06pm
    d