utama

Sikap asal boleh, janji ada

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sanggup pertaruh nyawa anak. Bagaikan lupa malang tidak berbau, ramai ibu bapa dan penjaga dilihat masih mengentengkan pemakaian topi keledar kepada si anak ketika membonceng motosikal, merisikokan mereka kepada kecederaan dan, lebih tragis, kehilangan nyawa jika berlaku nahas.

Suasana ini amat ketara di kawasan sekolah dengan kebanyakan kanak-kanak dipakaikan topi keledar 'asal boleh' dan 'janji ada' iaitu sama ada topi keledar orang dewasa atau topi keledar mainan. Ini belum lagi diambil kira peranti yang tidak ada cap jaminan keselamatan Sirim.

Malah, ada yang lebih berani apabila langsung tidak memakaikan topi keledar kepada si anak - seolah-olah kepala si anak itu kebal - ketika menghantar dan menjemput mereka di sekolah seperti yang dilihat oleh Bernama di tiga lokasi berkepadatan tinggi di Lembah Klang.

Tinjauan dari jam 12 hingga 12.45 tengah hari di beberapa sekolah itu mendapati lebih 300 kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun langsung tidak dipakaikan topi keledar ketika membonceng motosikal, mencerminkan kealpaan ibu bapa dan penjaga dalam menjamin keselamatan anak mereka.

Trend membimbangkan ini sebenarnya bukan hanya dapat dilihat di Lembah Klang, tetapi boleh dikatakan hampir di semua sekolah di seluruh negara.

Ingin cepat ke tempat kerja merupakan alasan utama ibu bapa dan penjaga sebagai rasional di sebalik tindakan mereka menggunakan motosikal ketika menghantar anak ke sekolah.

Amir Pohat, 30, antara yang memilih menghantar anaknya ke sekolah menaiki motosikal yang diakui dilakukan atas faktor masa selain lebih mudah bergerak.

Mengaku melihat sendiri ramai ibu bapa tidak memakaikan topi keledar kepada si anak, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Selangor itu berkata dia tidak pernah mengabaikan keselamatan anaknya yang sentiasa dipakaikan topi keledar ketika membonceng.

"Saya memang pakaikan anak helmet, cuma saya tidak pasti saiz helmet yang anak saya guna ini sesuai atau tidak dengan ukuran kepalanya," kata kepada Bernama.

Pada masa sama, dia tidak menolak kemungkinan ketiadaan saiz yang sesuai untuk anak sebagai antara faktor sesetengah ibu bapa tidak memakaikan anak mereka topi keledar.

Suri rumah Nor Hidayah Yusof, 38, pula menyatakan alasan 'dekat saja' sebagai punca ibu bapa bertindak demikian.

Mengambil contoh kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Semarak, wanita itu berkata majoriti ibu bapa yang menetap di situ tidak begitu ambil kisah tentang penggunaan topi keledar kanak-kanak kerana jarak sekolah yang dekat dengan rumah mereka, iaitu kira-kira 450 meter.

Mereka anggap tidak mungkin kemalangan boleh berlaku sekalipun bermotosikal tanpa topi keledar dalam jarak sedekat itu.

"Kebanyakan penduduk di sini jadikan 'dekat' sebagai alasan bersikap sambil lewa terhadap keselamatan anak-anak mereka sedangkan kemalangan boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana sahaja apabila kita culas mengenainya.

"Saya sendiri tengok pun risau sebab keadaan jalan di sini agak bahaya, sibuk kerana petempatan PPR ini padat penghuni. Selain itu, kenderaan berat juga sentiasa keluar masuk kerana ada projek pembinaan tidak jauh dari simpang sekolah," kongsinya.

Dia yang menghantar anaknya ke sekolah menaiki kereta amat berharap pihak berwajib memperbanyakkan program kesedaran untuk ibu bapa di kawasan berkenaan kerana melihat situasi 'kanak-kanak tidak berhelmet' semakin serius.

"Saya tidak tahu jika pernah berlaku kes kemalangan, namun lebih baik situasi ini dibendung daripada menunggu sehingga ada kes mati baru hendak buka mata," ujarnya.

Hakikatnya, isu tidak dipakaikan topi keledar atau menggunakan helmet 'asal ada' adalah sangat kritikal, terutama di kawasan luar bandar, kata pakar keselamatan jalan raya Prof Dr Kulanthayan KC Mani.

Katanya, kajian beliau pada 2020 bertajuk Determinants of Standards Motorcycle Safety Helmet Usage Among Child Pillion Riders yang melibatkan 200 penunggang dewasa dengan pembonceng berusia enam hingga 12 tahun, mendapati hanya tiga peratus menggunakan topi keledar patuh piawaian.

"Penemuan kajian ini sangat menyedihkan memandangkan pemakaian topi keledar dalam kalangan kanak-kanak mengikut piawaian tidak pun mencecah 10 peratus, manakala 37 peratus menggunakan topi keledar dewasa, 36 peratus topi keledar mainan dan 24 peratus langsung tidak memakai topi keledar," katanya.

Menurut beliau, hal ini berpunca daripada persepsi pengguna jalan raya yang beranggapan kemalangan lebih banyak berlaku di jalan besar dan jalan utama berbanding jalan kecil dan kawasan perumahan.

Selain itu, trend membimbangkan ini juga berleluasa kerana ramai beranggapan penguatkuasaan hanya bertumpu di jalan besar serta di bandar.

Walhal, kata Kulanathayan yang juga pensyarah di Jabatan Kesihatan Komuniti, Universiti Putra Malaysia (UPM), beberapa kajian sebelum ini membuktikan kemalangan boleh berlaku di mana sahaja walaupun membabitkan jarak dekat dan kawasan perumahan.

"Kita bimbang kerana risiko anak mendapat kecederaan di kepala adalah tinggi. Ini kerana kemalangan yang berlaku semasa kelajuan tinggi akan menyebabkan berlaku perpindahan tenaga kepada pembonceng, selain impak lebih teruk apabila mereka jatuh ke permukaan keras," katanya.

Kajian kawasan kediaman bukan kawasan selamat bagi kanak-kanak pernah dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) pada 2008 yang mendapati kemalangan melibatkan kanak-kanak di kawasan perumahan agak membimbangkan.

Statistik Miros pada 2008 menunjukkan 75 orang kanak-kanak berusia bawah 15 tahun maut dan 192 lagi mengalami kecederaan serius akibat kemalangan jalan raya di kawasan kediaman.

Mengulas data itu, Kulanthayan berkata sekalipun bukan maklumat terkini, statistik berkenaan menegaskan isu kegagalan mematuhi pemakaian topi keledar kanak-kanak tidak boleh dibiarkan berterusan.

"Statistik pada 2019 menunjukkan daripada 6,167 kematian akibat kemalangan jalan raya, sebanyak 1,000 kes melibatkan kanak-kanak, sedangkan insiden ini boleh dielak. Satu daripada cara ialah dengan menggunakan helmet yang diperakui Sirim," katanya.

Laporan Perangkaan Kemalangan Jalan Raya Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 menunjukkan pada tahun itu 78 kematian pembonceng motosikal berusia bawah 16 tahun dan 92 orang berumur 16 hingga 20 tahun dicatatkan.

Bagi kemalangan mengakibatkan kecederaan parah kepada pembonceng pada peringkat umur bawah 16 tahun pula ialah 116 kes dan 65 kes lagi bagi peringkat umur 16 hingga 20 tahun.

Kulanthayan yang juga Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, berkata isu kegagalan ibu bapa dalam pematuhan pemakaian topi keledar kanak-kanak bukan disebabkan kurang kesedaran semata-mata tetapi dipengaruhi cabaran lain.

Antaranya isu ketiadaan storage atau tempat penyimpanan barang pada motosikal, membuatkan ibu bapa atau penjaga malas untuk memakaikan topi keledar buat anak mereka kerana ada yang terus ke tempat kerja selepas menghantar anak ke sekolah.

"Malas, kurang kesedaran atau alasan dekat, semuanya berbalik kepada diri sendiri. Adakah kita mahu menggadaikan nyawa anak hanya disebabkan alasan itu dan akhirnya menyesal kemudian?" soalnya.

Disiarkan pada: May 13, 2022 @ 7:00am
d