utama

'Saya nakal la..' [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

Petaling Jaya: "Saya nakal la.." Seloroh pengacara popular, Awal Ashaari yang ditemui selepas menghadapi tuduhan melakukan khianat di Mahkamah Majistret di sini, hari ini

Awal atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, didakwa merosakkan palang pagar milik pengurusan perumahan, dengan perbuatan dilakukan di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, di sini pada 11.30 pagi, 16 April lalu, membabitkan kerugian anggaran RM600.

Bekas pengacara Melodi itu berkata, insiden berlaku di kawasan kediaman yang pernah didiaminya sebelum ini.

"Saya nak cerita panjang, (rasa) kelakar. Memandang ini kes mahkamah, saya serahkan kepada peguam untuk tindakan lanjut.

"Terkejut juga kerana selepas raya, saya kena Covid-19, kemudian jadi begini pula, namun saya reda.

"Nak buat macam mana, sekarang saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai," katanya.

Dalam prosiding hari ini, Awal mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan dan dibenar diikat jamin RM2,000, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Julai.

Pendakwaan ke atasnya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun atau tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Awal membayar jaminan itu.

Sementara itu, peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili Awal berkata, pihaknya akan mengkaji dahulu pertuduhan yang dikenakan sebelum menasihati anak guam untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi masa kita nilai secara teliti baru ambil tindakan selanjutnya," katanya.

Selain M Reza, Awal turut diwakili peguam Hamizah Sobree.

Berita berkaitan

Awal Ashaari didakwa lakukan khianat

Disiarkan pada: May 17, 2022 @ 2:39pm
d